Uruguay sedang mencuba penggunaan kad kuning dan kad merah elektronik dalam usaha memodenkan sistem pengadilan bola sepak yang selama ini masih bergantung kepada kaedah tradisional.
Inovasi tersebut telah diuji dalam perlawanan Copa Uruguay apabila pengadil menggunakan peranti digital bersaiz telefon pintar bagi menggantikan kad fizikal yang biasa ditunjukkan kepada pemain.
Teknologi yang dibangunkan oleh syarikat REFe itu bukan sahaja berfungsi untuk memaparkan amaran atau kad merah, malah turut merekodkan insiden perlawanan secara automatik bersama cap masa yang tepat.
Data tersebut kemudiannya boleh disepadukan terus ke dalam sistem laporan rasmi Persatuan Bola Sepak Uruguay, sekali gus mengurangkan beban kerja pentadbiran pengadil selepas tamat perlawanan.

Namun begitu, terdapat beberapa isu utama yang perlu ditangani seperti tahap keterlihatan skrin ketika cuaca cerah serta kesukaran penonton di stadium dan televisyen untuk mengenal pasti warna kad yang ditunjukkan.
Jadi, bagi menangani masalah tersebut, pembangun sedang mempertimbangkan penggunaan lampu LED yang lebih terang.
REFe berharap dapat menyempurnakan teknologi tersebut dan melihat ia diperakui sekali gus dapat diguna pakai secara rasmi dalam acara bola sepak di seluruh dunia.
