Honda mengumumkan kejayaan membangunkan teknologi asas bagi sistem pengecasan tanpa wayar untuk kenderaan elektrik (EV) yang boleh mengecas bateri ketika kenderaan sedang bergerak.
Malah teknologi yang dibangunkan bersama Taisei Corporation dan Taisei Rotec ini bukan menyasrkan untuk kereta penumpang sahaja tetapi juga lori komersial bersaiz besar.

Sistem ini menggunakan teknologi pemindahan kuasa tanpa wayar melalui resonans magnetik, di mana unit pemancar tenaga dibenamkan ke dalam permukaan jalan.
Jadi, apabila EV melaluinya, tenaga elektrik dipindahkan terus ke kenderaan tanpa memerlukan kabel atau hentian untuk mengecas.

Menurut Honda, reka bentuk baharu ini mampu menyokong kenderaan seberat kira-kira 20 tan dan berupaya menghantar kuasa sehingga 150 kW, menjadikannya sesuai untuk penggunaan lori elektrik yang memerlukan tenaga tinggi. Sistem ini turut direka agar lebih mudah disenggara dan dinaik taraf pada masa depan.

Bagi menguji keberkesanannya, laluan ujian khas akan dibina di Future Technology Field for Taisei Group/Tamura (T-FIELD/TAMRA) menjelang penghujung 2026 sebelum demonstrasi di jalan awam dimulakan sekitar tahun fiskal 2027 di Jepun.
Di laluan itu, ketiga-tiga syarikat tersebut akan menjalankan pelbagai ujian, termasuk penilaian ketahanan jangka panjang melalui ujian beban yang setara dengan 1 juta beban roda menggunakan kenderaan sebenar, ujian prestasi dan ujian untuk menilai langkah-langkah bagi menangani kebocoran medan elektromagnet.
Jika berjaya dikomersialkan, teknologi ini berpotensi mengurangkan kebergantungan kepada bateri besar, memanjangkan jarak perjalanan EV dan mempercepatkan peralihan kepada pengangkutan rendah karbon.
