(Ulasan) ZTE Blade V40 Vita - Bateri Tahan Lama, Cas Pun Laju

ZTE Blade Vita V40 dilancarkan di Malaysia sekitar 2 bulan lepas. Ia dijual kini pada harga RM629. Dari segi harga dapat kita teka, ia peranti kelas permulaan atau bajet yang sesuai untuk mereka yang tidak menjadikan telefon sebagai alat harian.

  • Cip Pemprosesan – Unisoc T606

  • Memori & Storan – RAM 4GB, storan 128GB (UFS 2.2)

  • Sistem Operasi – MyOS 11 berasaskan Android 11

  • Bateri & Pengecas –  6000mAh, pengecasan pantas 22.5W

  • Jenis & Saiz Paparan – Paparan LCD 90Hz,  6.75 inci

  • Kamera Utama – 48MP utama, 2MP makro, 2MP

  • Kamera Swafoto – 8MP


Tubuhnya boleh dimuatkan 2 kad sim dan 1 kad memori dengan adanya 3 slot keseluruhan.

Dengan harga sekitar RM600, pastinya anda tidak boleh meletakkan jangkaan tinggi. Akan tetapi, apa yang jadi tumpuan model ini?

Bateri dan Pengecasan


(Tahan lama, cas pun laju macam telefon lebih mahal)



Ketahanan baterinya dalam sekali cas memang sangat bagus. Kapasiti 6000mAh yang dimuatkan jelas terasa.

Bukan saja menggunakan untuk penggunaan harian seperti menatal media sosial dan video, malah saya juga cuba menggunakan aplikasi khas untuk menguji berapa lama ia boleh bertahan.

{suggest}

Dicampur penggunaan ringan bersama ujian daripada aplikasi itu, telefon ini mampu hidup selama 14 jam.

Antara aktiviti yang saya cuba ialah menggunakan media sosial, menonton video YouTube, meninggalkannya dengan skrin langsung tanpa padam, ujian aplikasi.



Hasilnya memang memberangsangkan. Saya agak kalau digunakan dengan penggunaan yang lebih berat, ia boleh bertahan sekitar 8 jam.

Dalam kes ini, kekurangannya iaitu hanya mampu menawarkan prestasi asas sebuah telefon pintar 2022, menjadi punca penggunaan kuasa yang rendah.



Justeru, menyumbang pada hayat bateri yang panjang.

Selain itu, pengecasan setinggu 22.5W pun menjadi kunci utama telefon ini. Paling penting, pengecas 22.5W bersama kabel USB-C turut disertakan dalam kotak.

Mana lagi mahu cari telefon berharga sebegini dengan pengecasan pantas setinggi 22.5W?

Paparan Berkadar Segar 90Hz


(Tinggi tapi tak rasa)



Menariknya telefon ini, walaupun pada harga RM629, ZTE masih mampu menawarkan kadar segar 90Hz maksimum.

Atas kertas, memang cun. Tapi apabila menggunakannya, tidak terasa ketinggian kadar segar 90Hz.

Saya katakan 90Hz tidak seperti 90Hz kerana apabila saya terkejut apabila menyedari dalam Tetapan bahawa 90Hz telah ditetapkan sejak awal saya guna.

Peranti harian saya hanya menyokong 60Hz dan saya tidak berasa apa-apa perbezaan dengan ZTE Blade V40 Vita ini.

Apabila saya bergilir tukar antara 60Hz dan 90Hz dalam Tetapan, barulah nampak bezanya akan tetapi terlalu sedikit.

Tidak pasti apakah ia disebabkan ketidakserasian perisian dengan perkakas atau panel sendiri.

Mungkin ini penyumbang penjimatan baterinya kerana jika 90Hz pada telefon lain, baterinya nyata sedikit lebih laju berkurang.

Boleh dikatakan kadar segar 90Hz ini "tak function".

Saiz skrin besar


(Puas hati, walaupun kadar segar rendah)



Dengan saiz 6.75 inci yang lebih besar daripada tangan saya, ia sesuai dibuat untuk menonton video dalam seperti Netflix, YouTube dan sebagainya.

Ditemani nisbah 20:9,  memang puaslah menyantap kandungan visual dan video.

Sudah tentu, ia bukanlah untuk anda yang sangat teliti dengan kualiti dan piksel dipaparkan tapi bolehlah sekadar ada. "It does the job," kata orang.

Kualiti ditawarkan sesuai untuk kanak-kanak ataupun golongan dewasa yang suka menonton tetapi tidak menitikberatkan soal kepuasan visual yang mendalam.

Lampu notifikasi LED


(Ciri yang semakin pupus tapi ada)



Ya, telefon ini hadir dengan LED di berdekatan pembesar suaranya yang menyala apabila menerima notifikasi. Oh, sudah berapa lama saya tidak bertemu dengan telefon yang mempunyai lampu notifikasi.

Ia akan menyala apabila menerima notifikasi, semasa dicas (skrin dipadam), ketika menerima panggilan dan jika bateri terlalu rendah.



Ciri ini sungguhlah ringkas dan memudahkan pengguna tetapi semakin lama semakin hilang dalam kalangan peranti Android.

Ia hanya menyala dalam satu warna iaitu putih namun sudah cukup memandangkan Blade V40 Vita ini dijual untuk segmen bajet.

Kesimpulan




ZTE Blade V40 Vita ini sesuai untuk individu yang tidak menggunakan telefon sebagai alat komunikasi utama atau peranti harian.

Ringkasnya, untuk golongan berumur, warga emas dan kanak-kanak.

Dengan harga RM629, anda bukan hanya dapat telefon tetapi juga kabel dan pengecas pantas. Ini satu nikmat yang semakin jarang diberikan hari ini.
Klik SINI untuk beli di Shopee.

Beli jika:


  • Untuk diberikan pada ibu bapa anda untuk memudahkan komunikasi.

  • Untuk kegunaan anak-anak yang masih bersekolah.

  • Sebagai telefon kedua atau sandaran.

  • Mahukan telefon spesifikasi rendah dengan bateri yang tahan lama dan pengecasan pantas.



Jangan beli jika:


  • Anda mencari peranti yang memuaskan hati untuk jangka masa panjang,

  • Mahukan peranti bajet tetapi skrin 90Hz yang sempurna.

  • Inginkan telefon dengan antara muka yang kelihatan canggih.

  • Hendakkan telefon bajet dengan reka bentuk setanding kelas atasan.


Berkaitan