(Ulasan) vivo Y77 5G - Peranti Yang Baik Dari vivo Tapi Bukan Pada Harganya

Y77 5G merupakan satu kemasukan baharu dalam keluarga peranti vivo pada tahun ini dan telah dilancarkan pada awal bulan Julai, 2022. Dengan tanda harga RM1,299, vivo Y77 5G dikuasakan MediaTek Dimensity 810, storan sebesar 256GB, bateri bersaiz 5000mAh dan sokongan bicu audio 3.5mm.

Setelah saya menggunakan peranti baharu vivo ini, terdapat beberapa perkara yang dapat saya simpulkan melalui kelebihan dan kekurangan yang ditawarkan peranti ini sekiranya anda bercadang atau mempertimbangkan Y77 5G ini sebagai peranti anda yang seterusnya.

Kelebihan


(Pengalaman penggunaan yang lancar dalam binaan peranti yang kukuh)

Pertamanya, vivo Y77 5G mempunyai rekaan peranti yang rata sekeliling sisinya berbanding rekaan alternatif yang melengkung. Saya lebih suka rekaan yang rata itu kerana ia memberi kita cengkaman yang lebih dan kukuh apabila memegangnya.



Menariknya, panel belakang vivo Y77 5G yang menggunakan tekstur matte antara yang paling sedap disentuh dalam kelasnya dan kalis cap jari ini membuatkan peranti ini selesa untuk digunakan. Pada pendapat saya, jika anda menggunakan peranti ini tanpa selongsong (casing) pun sudah lebih mencukupi, nak-nak pula jika anda seorang yang tidak suka menggunakannya.

Selain itu, vivo Y77 5G ini mempunyai kelebaran yang boleh saya katakan hampir selesa dalam genggaman tangan saya. Dek kerana saya seorang yang suka akan penggunaan satu tangan, peranti ini cukup seimbang untuk anda yang mencari peranti yang sesuai dalam penggunaan satu tangan.



Tidaklah saya nak katakan lebarnya itu tepat seperti iPhone 12 Mini dan lain-lain, cuma saiznya itu selesa dalam genggaman tangan saya. Tambahan pula, Y77 5G mempunyai posisi kedua-dua butang kuasa (sensor cap jari) dan audio yang tidak terlalu tinggi atau rendah, tetapi mudah untuk dicapai oleh anda apabila menggunakan peranti ini.



Keduanya, vivo masih lagi menjadi jenama yang setia kepada port bicu audio 3.5mm kerana vivo Y77 5G memberi anda peluang untuk menikmati penggunaan port tersebut di mana hampir kesemua peranti yang ada di pasaran sekarang memilih untuk membuang port tersebut.

Di samping itu, vivo Y77 5G mempunyai kecerahan maksimum yang cukup tinggi pada pendapat saya. Walaupun hanya menggunakan paparan jenis IPS LCD, kecerahan pada vivo Y77 5G cukup baik jika kita bandingkan peranti-peranti lain dalam kelasnya.

Dikala peranti lain dalam segmen harganya memberi storan standard 128GB, vivo memberikan storan gergasi sebesar 256GB kepada anda pada harga jualannya. Setakat gambar-gambar swafoto, filem atau video yang anda muat turun dan fail-fail besar yang lain, tidak akan menjadi masalah dengan peranti ini.



Ditambah pula dengan sokongan kad mikro SD pada peranti ini, isu storan tidak mencukupi adalah satu masalah lampau buat anda yang memiliki peranti ini. Jika anda tidak percaya, saya tidak dapat menolongnya.

Bukan storan peranti ini sahaja yang besar, malahan vivo memuatkan bateri besar bersaiz 5,ooomAh ke dalam peranti ini. Setakat penggunaan vivo Y77 5G, secara puratanya saya telah mendapat tempoh bermain permainan mudah alih sekitar 4 jam yang terdiri daripada Asphalt 9, Genshin Impact (tetapan lalai, 30 fps) dan lain-lain.


Selain penggunaan untuk bermain game seperti menonton video, menggunakan media sosial dan lain-lain, 5 jam ke atas itu memang dalam tangan andalah. Zaman sekarang, janganlah anda membeli sesebuah peranti itu jika baterinya saiz 'cili api' melainkan saiz 'lada besar'.



Bateri besar ini memudahkan urusan kita terutamanya urusan profesional, harian, peribadi dan lain-lain tanpa kita perlu risau akan masalah bateri dekat nak habis. Tetapi, faktor optimization daripada cip pemprosesan dan antara muka (UI) sesebuah OS daripada peranti itu sendiri juga memainkan peranti penting dalam mendapatkan kecekapan bateri yang baik dan berkualiti.


Jika anda suka berjalan-jalan di waktu malam dan menangkap gambar suasana atau persekitaran kurang cahaya, vivo Y77 5G menawarkan prestasi kamera yang baik dan memberangsangkan untuk anda pertimbangkan peranti ini. Berikut merupakan hasil tangkapan gambar ketika waktu malam untuk peranti ini:





Kekurangan


(Bateri besar tapi pengecas kecil seperti kereta kancil ingin menunda trak treler)





Saya mengucapkan tahniah kerana vivo masih tidak mengikut jejak langkah jenama-jenama lain yang tidak mahu membekalkan sekali pengecas bersama peranti mereka. Anda masih akan dapat pengecas bersama di dalam kotak apabila anda membeli vivo Y77 5G ini.


Walau bagaimanapun, vivo hanya membekalkan pengecas berkapasiti standard 18W sahaja untuk vivo Y77 5G ini. Bukannya tidak boleh, tetapi lihatlah saiz bateri yang perlu dicas itu. Pengecas 18W sudah tidak relevan lagi untuk bateri yang bersaiz 5,000mAh atau sekitarnya.

Memang benar bahawa pengecas itu mampu untuk mengecas bateri ini, tetapi persoalannya adalah adakah anda mampu untuk menunggunya? Seperti "menantikan kucing bertanduk", itulah peribahasa yang saya terfikir ketika mengecas peranti ini menggunakan pengecas 18W yang disertakan bersama dalam kotak.



Bayangkan sahaja saya mula mengecas peranti ini ketika paras bateri berada pada 16% dan membiarkannya sahaja selepas itu. Dan saya perlu menunggu sekitar 1 jam 30 minit untuk peranti ini hampir berada di paras 100% dicas sepenuhnya.

Itu pun ada baki 2% yang masih belum dicas lagi. Saya tidak menafikan vivo sebuah jenama yang hebat dengan pelbagai peranti menarik daripada mereka, tetapi vivo Y77 5G ini membuatkan saya untuk tidak lupa bahawa vivo juga tidak dapat lari daripada berbuat kesilapan seperti contoh, isu pengecas peranti.

Selain isu pengecas, vivo merupakan sebuah jenama yang minat dalam memberikan anda aplikasi bloatware yang telah pun diprapasang dari dalam kotak lagi dan dengan jumlah yang banyak. Jika anda bertanya kepada saya adakah perkara ini boleh diberikan kepada pengguna dan pembeli peranti vivo?



Sudah tentu jawapannya adalah boleh tetapi masalahnya saya tidak mahu. Saya lebih suka sekiranya saya sendiri yang memilih, memuat turun sendiri dan menguruskan aplikasi mana yang patut dan mahu saya pasang dalam peranti yang telah saya beli dengan duit hasil titik peluh saya.



Sudahlah aplikasi bloatware itu tidak diberi pilihan untuk dinyahpasang oleh vivo melainkan pilihan untuk kita force stop sahaja. Perkara ini tidak akan menjadi isu sekiranya vivo memberi pilihan untuk kita menyahpasang aplikasi bloatware itu dan mungkin mengurangkan atau tidak meletakkan terus bloatware tersebut ke dalam peranti mereka dari awal lagi.

Jika anda membeli peranti ini, anda tidak boleh menggunakan kad NFC (near field communication) Touch 'n Go yang baharu itu. Hal ini kerana peranti ini tidak menyokong mahupun mempunyai ciri NFC padanya. Pendapat saya, sepatutnya vivo prihatin akan perkara ini dikala ciri NFC itu merupakan satu inovasi baharu yang diperlukan di Malaysia ini.



Malahan, tiada kerugian bagi vivo sekiranya ciri tersebut disertakan bersama pada peranti ini dari awal lagi. Sukar untuk kita menerima realiti di mana peranti yang dijual pada tanda harga ini masih tidak menyokong ciri NFC pada zaman ini.

Kekurangan terakhir yang saya mahu sentuh adalah harga jualan vivo Y77 5G ini. Buat pengetahuan anda, vivo Y77 5G dijual pada tanda harga RM1,299 di mana itu juga merupakan harga bagi peranti vivo T1 yang dilancarkan tidak beberapa bulan yang lepas.

Jika dibandingkan, vivo T1 menawarkan spesifikasi yang lebih berbaloi dalam harganya dengan cip Snapdragon 778G, paparan skrin jenis AMOLED dan pengecasan pantas 66W. Hos kami, Imran juga berpendapat bahawa vivo Y77 5G sepatutnya dijual pada tanda harga bawah RM1,000 dengan spesifikasi dan ciri yang berikan vivo pada peranti Y77 5G ini.

Jika vivo nak meletakkan harga di atas paras RM1000 ini, mungkin mereka boleh menggantikan paparan skrin kepada AMOLED yang jauh lebih baik daripada panel IPS LCD dan memberi pengecas yang lebih berkualiti serta sokongan cas laju untuk saiz baterinya yang besar itu.

Sebaliknya, vivo mungkin boleh sekurang-kurangnya memberikan sokongan kadar segar semula yang lebih tinggi jika ingin mengekalkan penggunaan paparan jenis IPS LCD pada peranti Y77 5G ini.

Kesimpulannya


(Sebuah peranti yang sangat disyor untuk anda beli jika ia dijual pada harga yang betul)

vivo Y77 5G adalah sebuah peranti yang padat dengan pelbagai kelebihan yang ditawarkan vivo kepada anda. Storan dan saiz bateri sangat membantu anda dalam melaksanakan tugasan harian tanpa sebarang masalah.

Ditambahkan lagi prestasi kamera yang tampak berkualiti, anda akan lebih yakin untuk berkongsi gambar-gambar anda di media sosial. Seperti manusia yang tidak lari daripada berbuat silap, vivo meletakkan peranti ini pada harga yang salah.

Hal ini demikian, harga tersebut tidak berapa selari dengan apa yang ditawarkan dan berada pada harga yang sama dengan pilihan peranti vivo yang lebih baik lagi, vivo T1 5G. Selain itu, pengguna juga terpaksa menghadap waktu menunggu yang lama untuk mengecasnya kecuali vivo menawarkan sokongan mengecas lebih pantas.

Jika anda memiliki bajet sekitar harga jualan vivo Y77 5G ini, saya berpendapat ada banyak lagi pilihan lain yang menawarkan spesifikasi yang lebih berbaloi dan baik untuk setiap ringgit yang anda belanjakan.


Beli jika:

  • Anda mencari peranti vivo dengan storan bersaiz besar.

  • Anda mencari peranti dengan mod malam yang memberangsangkan pada harga di bawah RM1500.


Jangan beli jika:

  • Anda tidak meminati peranti yang memiliki aplikasi bloatware yang berlambak.

  • Anda memiliki kad Touch 'n Go berdaya NFC.

  • Anda mahu peranti yang mempunyai kelajuan mengecas lebih laju.


Beli vivo Y77 di:

Shopee - https://invle.co/clcba08

Lazada - https://invol.co/clcba0z