(Ulasan) OPPO F11 Pro - Siri F Bebas Takuk Dengan Penggunaan Kamera Pop-Up

Mengembangkan lagi penawaran peranti bebas takuk untuk memberi ruang paparan yang lebih luas, OPPO tampil memperkenalkan model F11 Pro untuk pasaran 2019.



Siri F dalam OPPO merupakan siri yang mengetengahkan peranti dengan keupayaan kamera swafoto dan menariknya pada model kali ini, ia menggunapakai lensa hadapan yang boleh disembunyikan.



Tidak seperti Find X yang menggerakkan keseluruhan bahagian atas, model F11 Pro hanya lensa 16MP sahaja yang digerakkan.

Spesifikasiyang dibawa oleh OPPO F11 Pro 



  • Skrin paparan 6.5 ini inci LCD

  • Cip pemprosesan MediaTek P70

  • Kamera belakang 48MP+5MP

  • Kamera hadapan 16MP

  • RAM 6GB

  • Storan dalaman 64GB

  • ColorOS 6 berasakan Android Pie 9

  • Bateri 4000mAh dengan pengecasan pantas VOOC.


Rekaan menawan bersama sistem kamera meluncur keluar dari tengah


Jikalau dibandingkan dengan edisi terdahulu, siri F kali ini dilihat lebih menawan dibahagian depan dan belakang.



Skrin hadapannya bersih tanpa sebarang takuk dan panel belakang, ditawarkan dengan warna pilihan Thunder Black serta Aurora Green yang kelihatan "mahal".

Bukan sahaja dihiasi lapisan warna menarik, OPPO F11 Pro turut diperkuatkan dengan sistem kamera swafoto yang boleh disembunyikan. Menurut OPPO, dari segi ketahanannya ia boleh keluar masuk 100 kali sehari selama 6 tahun.



Mengelilingi peranti adalah bingkai plastik dimana sisi kanan diletakkan butang kuasa, slot dwi kad sim sementara pelaras kelantangan bunyi berada disisi kiri.



Dibawahnya pula dilengkapi bicu audio 3.5mm, port pengecasan MikroUSB serta corong pembesar suara. Sebelah atas terdapat noise-cancelling mic, kamera swafoto, serta sensor cahaya ambien.

Kamera belakang ditempatkan selari dengan kamera hadapan yakni dibahagian tengah, disusun dengan dua kamera dari gabungan lensa 48MP dan 5MP. Sensor pengimbas cap jari juga diletakkan dikawasan yang sama.

Bukan sahaja memberi pengalaman berlainan ketika rakaman selfie bagi penggemar siri F ini, penggunaan mekanisme kamera keluar masuk turut memberi ruang OPPO menyediakan paparan dengan nisbah 90.9% dengan dagu dan dahi yang nipis.

Sistem antaramuka ColorOS 6




ColorOS 6 berasaskan Android Pie, merupakan sistem antaramuka terkini bagi barisan peranti OPPO dan dibangunkan dengan lebih fokus kepada peranti yang ber-bezel nipis.



Mungkin sebelum ini ada yang kurang meminati ColorOS kerana tidak mempunyai app drawer, ia kini sudah tersedia dan boleh diaktifkan pada bahagian Home Screen Mode didalam Settings.



Selain daripada itu, ikon pada tetapan pantas juga lebih besar memudahkan sentuhan dibuat. Kelancaran sistem operasi serta penjimatan kuasa didokong oleh penggunaan AI, dimana ia sekadar membekukan aplikasi pada latarbelakang dan tidak mematikannya.

Bahagian yang paling jelas menunjukkan kemampuan AI ini boleh diperhatikan pada App Drawer, dimana App Prediction memaparkan aplikasi pilihan berdasarkan penggunaan anda.

Memperkuatkan lagi ColorOS 6 adalah teknologi Hyper Boost yang mana ia meningkatkan lagi sistem peranti dengan lebih penjimatan pada bateri. Untuk merasai keupayaan teknologi ini ketika bermain, pada aplikasi Game Space pilih High Performance.


Kamera hadapan yang disembunyikan pada bahagian tengah


Pertama kali dipopularkan oleh Vivo Nex dan setakat hari ini, kita sudah melihat bermacam-macam rekaan kamera pop-up diperkenalkan pengeluar.

Antara keunikan yang ditawarkan pada OPPO F11 Pro sudah semestinya dengan kehadiran kamera hadapan yang boleh disembunyikan.



Bersembunyi dibahagian tengah, kamera hadapan ini diletakkan selari dengan kamera belakang dan menggunapakai sensor 16MP. Kamera swafoto dikeluarkan dengan pantas tetapi berdasarkan pengalaman penggunaan yang lepas, kami merasakan Vivo V15 Pro lebih laju.



Tren meletakkan sensor 48MP sudah mula menular dalam kalangan pengeluar peranti masa kini dan OPPO tidak ketinggalan melengkapkanya pada OPPO F11 Pro.

Diletakkan sensor 48MP sebagai lensa utama, ia turut berdampingan dengan sensor 5MP untuk depth sensing. 

Aplikasi kamera didatangkan dengan tiga mod utama pada paparan iaitu Video, Photo dan Potrait. Mod lain boleh diakses pada bahagian tepi yang menghidangkan ciri Night, Panorama, Expert, Time Lapse, Slow-Mo, dan Google Lens.



Terdapat juga ciri Dazzle Color dimana hasilnya memberikan saturasi warna yang lebih baik.



Kiri tanpa mod Dazzle Color, Kanan dengan mod Dazzle Color

Contoh gambar OPPO F11 Pro



Bateri 4000mAh dengan sokongan VOOC 3.0


Beralih kebahagian yang menjana OPPO F11 Pro, model ini dimuatkan dengan bateri berkapasiti 4000mAh. Pengecasan penuh dari 5% ke 100% mengambil masa lebih kurang 1 jam 20 minit.

Ia disokong dengan pengecasan pantas VOOC 3.0 tetapi sayang sekali ia hadir dengan port pengecasan yang kurang digemari ramai, MikroUSB.

Dengan bateri berkapasiti besar, rasanya penggunaan harian tidak perlulah diulas lanjut. Ketika menggunakan peranti ini, kami tidak heboh mencari pengecas kerana ia berupaya bertahan hingga ke malam hari. Setakat pakai gunakan untuk media sosial, YouTube, bermain aplikasi permainan, tiada masalah langsung.

Keseluruhan


Dengan kehadiran OPPO F11 Pro kali ini, kita boleh lihat syarikat pengeluar ini memberikan sentuhan yang seimbang dari segi rekaan, prestasi dalaman, hasil kamera serta keupayaan kuasa bateri yang bukan sahaja agak pantas diisi, tetapi turut mampu bertahan dalam tempoh yang memuaskan pengguna.



Mungkin ada yang agak skeptikal apabila mendengar nama MediaTek Helio P70 pada bahagian spesifikasi, tetapi berdasarkan penggunaan, tiada keluhan dari kami.

Berada dipasaran kini, terdapat beberapa peranti lain yang turut memberi saingan sengit kepada OPPO F11 Pro (RM1299) dan juga dengan nilai yang rendah. Namun jika anda mementingkan peranti pertengahan tanpa takuk serta rekaan menarik, OPPO F11 Pro salah satu calon yang boleh dipilih.