Apple mengumumkan kemas kini besar untuk Apple Creator Studio, yang membawakan pelbagai ciri kecerdasan buatan (AI) dan alat kreatif baharu kepada Final Cut Pro, Logic Pro, Pixelmator Pro, Keynote, Pages dan Numbers.
Kemas kini ini akan tersedia di App Store pada November 2026 secara percuma kepada pelanggan sedia ada. Di Malaysia, langganan Apple Creator Studio berharga RM29.90 sebulan atau RM299 setahun.

Antara pembaharuan utama ialah pembantu AI dalam Keynote, Pages dan Numbers yang dibina menggunakan model Apple dan OpenAI. Pembantu ini memahami konteks dokumen, jadi pengguna boleh menyiapkan tugasan tanpa meninggalkan aplikasi.
Dalam Keynote, AI membantu mereka bentuk, menganimasi dan memperkemas slaid. Dalam Pages, ia boleh menghasilkan draf serta menyusun semula kandungan bertulis. Numbers pula menggunakan AI untuk pengiraan, visualisasi data, mencadangkan jenis carta yang sesuai dan membina jadual tersuai.

Ketiga-tiga aplikasi turut menerima sokongan Model Context Protocol (MCP), yang membolehkan ejen AI luaran membaca kandungan, membuat suntingan dan melaksanakan tindakan automatik secara terus. Sokongan MCP memerlukan macOS 27 atau lebih baharu.

Bagi penyuntingan video, Final Cut Pro untuk Mac kini mengintegrasikan MotionVFX secara terus, memberikan akses kepada ribuan templat, grafik, tajuk dan peralihan, selain alat rotoscoping, tracking dan colour grading.

Content Hub kini turut menyediakan video stok, manakala imej dalam timeline boleh dibuka terus dalam Pixelmator Pro dan disimpan semula ke projek tanpa perlu diimport semula.
![]()
Pixelmator Pro memperkenalkan Generate Fill, yang membolehkan pengguna mengubah bahagian tertentu dalam imej menggunakan arahan teks. Menurut Apple, ciri ini menyesuaikan pencahayaan, perspektif dan tekstur sekeliling supaya hasil suntingan kelihatan semula jadi.

Logic Pro untuk Mac pula menerima pembantu AI dalam versi beta yang boleh membantu memulakan lagu baharu, menyediakan trek vokal melalui satu arahan dan mengurus aliran kerja produksi. Stem Splitter turut dipertingkat dengan keupayaan mengasingkan, menggantikan atau mengimbangi semula bahagian dram tanpa memerlukan multitrack asal.
Bagaimanapun, pembantu AI dalam Logic Pro, Keynote, Pages dan Numbers masih dalam versi beta dan hanya menyokong bahasa Inggeris AS. Pengguna memerlukan peranti yang menyokong Apple Intelligence serta menjalankan iOS 27, iPadOS 27 atau macOS 27 dan ke atas. Pembantu dalam Logic Pro pula terhad kepada Mac.
