(Ulasan) Huawei nova Y90 - Tetap Indah Walaupun Ada Kurangnya

Huawei nova Y90 telah pun dilancarkan pada 15 Julai, 2022 dan dijual pada harga RM999 untuk anda yang ingin memilikinya. Huawei nova Y90 dikuasakan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 680, sokongan pengecasan pantas 40W dan mempunyai panel belakang dengan tekstur kusam (matte) yang lebih menarik.



Berikut merupakan spesifikasi ringkas untuk peranti Huawei nova Y90 ini:

  • Cip Pemprosesan – Qualcomm Snapdragon 680 4G 

  • Memori & Storan – RAM 8GB, Storan 128GB  

  • Sistem Operasi – EMUI 12 

  • Bateri & Pengecas – 5,000mAh, Pengecasan Pantas 40W 

  • Jenis & Saiz Paparan – IPS LCD 90Hz, 6.7 Inci  

  • Kamera Utama – 50MP utama, 2MP makro, 2MP kedalaman

  • Kamera Swafoto – 8MP 

  • Ciri Istimewa – Pengesan cap jari disisi kanan, bicu audio 3.5mm




Artikel ulasan ini mengupas akan kelebihan dan kekurangan yang ada pada peranti ini sekiranya anda berminat atau sedang pertimbangkan untuk membelinya sebagai peranti utama anda.

Kelebihan


(EMUI yang lancar, cekap dan pantas)

Huawei adalah satu jenama yang besar dalam industri peranti mudah alih sebelum ini dengan antara muka EMUI merupakan salah satu ciri tarikan utama yang ada dalam setiap telefon pintarnya.

Untuk Huawei nova Y90 ini, EMUI yang ada padanya cukup lancar dan cekap. Pertama kali saya menggunakan peranti Huawei ini, sungguh saya minat akan pemprosesannya yang lancar dalam memberi tindak balas terhadap penggunaan saya.



Menggunakannya untuk media sosial dapat dilakukan tanpa sebarang masalah, masa loading yang tidak seberapa sangat lamanya dan anda dapat menikmati masa penggunaanya yang lebih lama.

Hal ini kerana, EMUI sebuah antara muka yang telah lama bertapak di dalam industri ini atau dalam bahasa ringkasnya, teknologi antara muka Huawei ini telah matang, lebih stabil dan optimum dalam penggunaannya.

(Rekaan fizikal Huawei yang unik dan kukuh)

Huawei nova Y90 ini didatangkan dimensi fizikal yang lebih menarik pada pendapat saya, tekstur matte pada panel belakang dan warna Crystal Blue dengan kilauan yang minimum.



Selain itu, peranti ini mempunyai sisi yang tajam di antara sisi dan paparan tetapi sedikit melengkung dengan panel belakangnya. Antara yang menarik pada peranti ini adalah tekstur kusam yang menarik dan lebih selesa rasanya ketika berada dalam genggaman tangan.

Tidak lupa juga tetapan bonggol kamera yang bulat itu berasaskan rekaan eksklusif yang selalu diangkat oleh Huawei dalam peranti mereka. Bahkan, anda semestinya boleh mengagak sesebuah peranti itu datangnya daripada Huawei dengan bonggol kamera seperti ini sekiranya anda adalah peminat peranti Huawei.



Di samping itu, binaan dan fizikal Huawei nova Y90 terasa kukuh dalam genggaman anda. Memegangnya terasa seakan-akan anda sedang memiliki peranti dalam segmen harga yang agak premium dan bukan di bawah RM1,000 seperti peranti ini.

Ini merupakan salah satu kelebihan buat anda yang ingin memiliki peranti dengan binaan dan rasa yang kukuh. Bahkan, tidak semua peranti dalam segmen harga Huawei nova Y90 ini menawarkan binaan dan rasa yang tegap dan kukuh.

(Pengecasan yang cemerlang untuk bateri)

Peranti Huawei nova Y90 ini dilengkapi dengan pengecas pantas 40W dan Huawei mengiklankan peranti ini mampu dicas sebanyak 50% dalam masa 30 minit sahaja. Berdasarkan gambar-gambar di bawah ini, pengecas 40W daripada Huawei ini mula mengecas peranti pada paras bateri di 21%. Dalam setengah jam, paras bateri telah bertambah pada paras 67%.



Anda boleh melihat yang peranti ini mencatatkan penambahan paras bateri sekitar 50% juga. Oleh itu, peranti Huawei ini memang berprestasi dalam kemampuan pengecasnya sendiri dan menjalankan tugasnya seperti yang diiklankan.

Menariknya, kemampuan yang cukup memberangsangkan ini hadir pada peranti yang berharga kurang daripada seribu ringgit sahaja. Bukannya tiada jenama lain dalam segmen harga ini yang menawarkan ciri pengecasan pantas, tetapi tidak semuanya yang mempunyai kelajuan mengecas pada 40W seperti yang ditawarkan Huawei nova Y90 ini.

Untuk penggunaan pula, anda mampu mendapatkan masa sekitar 5 jam melalui aktiviti-aktiviti ringan seperti menonton YouTube, filem atau drama, mendengar lagu, melayan sosial media dan lain-lain.

Jangkaan masa tersebut adalah melalui pengalaman saya menggunakan peranti ini dalam menggunakan aplikasi media sosial dan itu pun jika anda melakukannya secara berterusan di mana kita tahu perkara tersebut sangat jarang untuk kita lakukan.

Apa yang saya ingin katakan adalah peranti ini mampu dan mempunyai keupayaan untuk menyokong aktiviti profesional harian anda. Sementara itu, berbeza pula dengan kemampuan peranti ini dalam mengendalikan tugasan berat seperti bermain game tetapi itu tidak bermaksud peranti ini tidak berkemampuan.



Sebagai contoh, Huawei nova Y90 ini mampu mengendalikan Asphalt 9: Legends pada tetapan tertinggi (high quality) dan game ini sememangnya terkenal sebagai aplikasi permainan mudah alih dengan keperluan grafik yang tinggi.



Oleh itu, tiada masalah untuk anda memainkan sebarang game arus perdana yang ada di luar sana seperti game Mobile Legends: Bang Bang, Call of Duty: Mobile dan lain-lain.

(Masih menyokong aplikasi arus perdana tetapi daripada sumber pihak ketiga (APK))

Seperti yang kita tahu, Amerika Syarikat di bawah pimpinan bekas Presiden Donald Trump telah mengarahkan perintah eksekutif untuk melakukan sekatan kepada syarikat China untuk sebarang perkhidmatan yang datangnya daripada AS sendiri di mana dalam kes ini adalah Google.



Selepas tindakan tersebut, peranti Huawei tidak lagi menyokong perkhidmatan daripada Google dan aplikasi yang lain seperti Facebook, Twitter dan banyak lagi. Walaupun begitu, saya perasan Huawei masih memberikan anda peluang untuk memuat turun aplikasi media sosial tersebut melalui sumber pihak ketiga (APK).



Dalam gambar di atas, Huawei AppGallery akan menawarkan laman sesawang yang membolehkan anda memuat turun aplikasi yang telah disekat itu ke dalam peranti ini. Oleh itu, anda sebenarnya masih boleh menggunakan lagi sebarang aplikasi dalam peranti Huawei nova Y90 ini walaupun sekatan tersebut masih wujud lagi.

Tetapi saya tahu yang peminat-peminat peranti Huawei di luar sana sudah tentu tahu akan cara-cara untuk mendapatkan aplikasi-aplikasi tersebut ke dalam peranti mereka.

Kekurangan


(Tiada perkhidmatan Google)

Ini merupakan salah satu kekurangan yang ada dalam peranti ini malahan dalam semua peranti telefon pintar Huawei. Dek kerana sekatan dikenakan, Huawei tidak menyokong Google Mobile Service (GMS).

Oleh itu, Huawei nova Y90 ini tidak dapat menggunakan perkhidmatan aplikasi daripada Google walaupun anda mempunyai cara untuk memasang aplikasi tersebut dalam peranti ini sekalipun.

Walaupun begitu, pengguna boleh memuat turun aplikasi Gspace daripada AppGallery Huawei ini. Melalui Gspace itu, pengguna boleh menggunakan perisian Google seperti Doc, Gmail, Sheet, dan lain-lain.

Ini sesuai bagi anda yang menyukai persekitaran dan estetik EMUI tetapi pada masa yang sama mempunyai komitmen terhadap perkhidmatan daripada Google.

GMS merupakan satu kumpulan aplikasi dan API (Application Programming Interface) daripada Google yang membantu dan memastikan peranti anda berjalan dengan lancar dan seperti yang diharapkan.

Jadi, ini merupakan satu batu penghalang terbesar untuk anda yang ingin atau sedang pertimbangkan membeli peranti ini atau mana-mana peranti Huawei sekalipun. Terutamanya, anda merupakan seorang pengguna yang biasa, kasual dan amatur akan ekosistem aplikasi Google. Suka atau tidak, kita sebenarnya sudah bergantung dengan Google.

Namun, ini tidak menjadi masalah untuk mereka yang sudah biasa dan menerima ekosistem tanpa kebergantungan terhadap aplikasi Google.

(Kehadiran "noise" yang terlalu ketara dalam kamera mod malam)

Huawei nova Y90 mempunyai prestasi kamera yang cukup jelas dan berkesan dalam tugasannya. Hal ini kerana, dalam situasi yang gelap, malap mahupun kekurangan cahaya sekalipun, peranti ini mampu menghasilkan gambar mod malam yang baik.





Walau bagaimanapun, masalah muncul apabila hasil-hasil gambar itu mempunyai hingar (noise) yang mempengaruhi kualiti gambar tersebut. Mungkin saya boleh mempertimbangkan lagi sekiranya kehadiran hingar tersebut minimum dan tidak terlalu ketara sangat.



Tetapi hingar yang dihasilkan pada gambar mod malam begitu ketara walaupun gambar tersebut sememangnya cerah dan mampu meningkatkan kualiti gambar malam. Huawei sebuah jenama yang memang padu dalam menghasilkan gambar melalui kamera mereka.

Sungguh tidak saya sangkakan kehadiran gangguan hingar yang begitu ketara dan pada masa yang sama, saya turut memuji kemampuan mod malamnya yang mampu memberi kualiti gambar malam yang lebih terang dan baik daripada keadaan asal sesuatu tempat itu. Pun begitu, tidak mengapa kerana peranti ini berada dalam kelas pertengahan.

Kesimpulannya


(Antara peranti terbaik bawah RM1,000 bagi mereka yang mahir)

Huawei nova Y90 ada sebuah peranti dengan kemampuan kamera yang lebih jelas dan baik ketika waktu siang. Biarpun peranti ini tidak begitu "perform" dalam kamera malamnya tetapi hasil tangkapan kamera pada waktu siang tidak mengecewakan.







Biarpun tidak mempunyai perkhidmatan GMS daripada Google, peranti ini ada memberikan anda aplikasi alternatif untuk anda muat turun sebagai ganti.



Huawei nova Y90 bukanlah sebuah peranti untuk mereka yang tidak biasa dengan ekosistem Huawei atau tanpa sokongan Google. Melainkan anda sememangnya seorang yang arif dengan ekosistem Huawei EMUI dan lebih dengan peranti Huawei berbanding jenama lain.

Selain itu, peranti ini juga merupakan pilihan yang baik untuk pengguna Huawei yang mencari peranti seterusnya bagi menggantikan peranti Huawei nova yang lama. Dengan sokongan EMUI yang terbaru, peranti ini sudah pastinya akan kekal relevan untuk tahun-tahun mendatang.

Saya akhiri ulasan ini dengan satu pendapat jujur saya akan jenama Huawei ini.

Huawei merupakan sebuah jenama besar yang mempunyai prestasi, kemampuan dan kualiti yang tidak boleh dinafikan lagi pada setiap produk mereka.

Sistem operasi EMUI-nya yang lebih matang, lancar dan cekap itu adalah salah satu faktor yang membuahkan jenama ini menjadi sangat kompetatif sebelum sekatan yang dilakukan Amerika Syarikat.

Seandainya perkara itu tidak berlaku, saya beranggapan kemungkinan besar Huawei menjadi salah satu jenama dalam industri telefon pintar global dan peranti mereka merupakan antara yang paling banyak dimiliki oleh penduduk dunia.

Beli jika:

  • Anda meminati ekosistem dan juga mahir akan penggunaan peranti Huawei.

  • Anda ingin mencari peranti Huawei bajet yang seterusnya.

  • Anda seorang yang inginkan pengalaman EMUI yang lancar pada harga bajet.


Jangan beli jika:

  • Anda tidak boleh "hidup" tanpa produk dan perkhidmatan daripada Google.

  • Anda bukan seorang yang mahir akan ekosistem EMUI ini.

  • Anda mempunyai bajet yang lebih daripada RM1,000.


Beli di:

Lazada - https://invol.co/clco5ue

Shopee - https://invle.co/clco5uu

Berkaitan