Jam menunjukkan pukul 7:13 pagi pada satu pagi Jun yang membahang, dan sebuah kereta api penumpang perlahan-lahan memasuki stesen di Abu Dhabi, ibu negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang kaya dengan minyak.
Ia mungkin satu pemandangan biasa di kebanyakan kota lain, tetapi di sini, ia adalah yang pertama seumpamanya.
Perkhidmatan kereta api penumpang sulung UAE itu, yang berlepas dari wilayah Fujairah yang tenang, membawa para pengembara yang penuh teruja sambil menyaksikan matahari terbit pada hari Khamis ketika mereka memecut merentasi gurun, bersantai di atas tempat duduk yang serba baharu.
“Kami berpeluang melihat landskap yang biasanya tidak dapat dilihat dari jalan raya, beberapa perkara yang anda tidak akan benar-benar nampak jika mengembara dengan menaiki kereta,” kata Gunjan Chaurasia, 42, yang memandu lebih 100 kilometer dari Dubai ke Fujairah semata-mata untuk menjadi antara penumpang terawal.
Bagi sebuah negara yang memiliki infrastruktur serba mewah termasuk Burj Khalifa, bangunan tertinggi di dunia, dan lapangan terbang paling sibuk di dunia bagi trafik antarabangsa di Dubai, ketibaan kereta api penumpang yang agak lewat ini merupakan satu perkara yang menarik perhatian.

UAE mempunyai rancangan yang sangat maju untuk meluncurkan teksi terbang, manakala Dubai, hub komersialnya, sedang bekerjasama dengan syarikat milik Elon Musk, The Boring Company, untuk membina ‘Dubai Loop‘ iaitu sebuah rangkaian pengangkutan bawah tanah berkelajuan tinggi.
Namun, kereta api penumpang biasa masih dianggap sesuatu yang luar biasa di rantau Teluk.
Etihad Rail milik UAE merupakan perkhidmatan antarabandar yang kedua seumpamanya di rantau kaya tersebut, selepas Arab Saudi.
Rangkaian landasan kereta api yang menghubungkan negara-negara Teluk telah diumumkan hampir 20 tahun lalu.
Namun, di rantau di mana pemerintah dirajanya tidak sentiasa sehaluan, rancangan itu masih belum menjadi realiti.
Perpaduan Nasional
Rawdha, seorang penduduk dari Fujairah—wilayah yang mempunyai pelabuhan dan pusat peranginan pantai kecil di pantai timur Teluk Oman UAE—berasa teruja dengan potensi yang dibawa oleh Etihad Rail UAE.

“Bagi kami di Fujairah, perjalanan dahulu terasa sangat lama,” katanya selepas mengharungi perjalanan selama 1 jam 40 minit itu. Perjalanan yang sama mengambil masa kira-kira sejam lebih lama jika memandu kereta.
“Kini Abu Dhabi dan kawasan-kawasan lain terasa jauh lebih dekat dengan kami, dan ia tidak lagi dirasakan seperti satu perjalanan yang panjang atau menyukarkan seperti sebelum ini.”
Laluan-laluan seterusnya akan menyusul: sembilan lagi stesen dijadualkan dibuka menjelang penghujung tahun depan, termasuk sebuah stesen di Dubai.
Kereta api berkuasa diesel itu mempunyai kelajuan maksimum 200 kilometer sejam, dan kedudukan stesen-stesennya masih memerlukan pemanduan untuk ke pusat bandar.
Di sebuah negara yang menawarkan harga petrol murah serta lebuh raya enam lorong yang meluas, pengangkutan kereta api bukanlah alternatif mutlak untuk menggantikan kereta yang sedia dominan.
Walau bagaimanapun, Etihad Rail juga sedang mengusahakan projek kereta api elektrik berkelajuan tinggi yang menghubungkan Abu Dhabi dan Dubai, yang dijadualkan beroperasi dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Rangkaian nasional ini turut dipersembahkan sebagai cara untuk menyatukan ketujuh-tujuh emirat UAE dengan lebih erat, memandangkan sebahagian daripadanya sering terlepas pandang berbanding Abu Dhabi dan Dubai.
“Ini adalah detik bersejarah bagi Emiriah,” kata Athraa Al Mansoori, pengarah eksekutif komersial dan sokongan di Etihad Rail Mobility. “Ia akan mengubah cara sesebuah bandar direka dan bagaimana penduduk bergerak.”
Manfaat ekonomi projek ini dijangka boleh mencecah lebih 90 bilion dirham ( sekitar RM100.28 bilion) dalam tempoh 50 tahun akan datang, katanya.
Kembali ke Landasan?
Landasan kereta api sepanjang kira-kira 900 kilometer di UAE itu sebelum ini hanya digunakan untuk pengangkutan kargo, dan terbukti memberikan kelebihan strategik semasa perang Timur Tengah baru-baru ini.
Berikutan sekatan Iran di Selat Hormuz, sebahagian barangan telah dilencongkan melalui Fujairah, yang terletak di luar laluan air sempit tersebut di Lautan Hindi.
Laluan kereta api ini pada asalnya bertujuan untuk menjadi sebahagian daripada rangkaian serantau sepanjang lebih 2,000 kilometer yang membawa penumpang dan barangan antara Arab Saudi, UAE, Qatar, Kuwait, Bahrain, dan Oman.
Namun setakat ini, hanya bahagian yang menghubungkan UAE ke Sohar, sebuah pelabuhan di utara Oman, yang sedang dalam pembinaan.
Projek-projek peringkat serantau Teluk berkemungkinan akan terus berdepan dengan persaingan wilayah, terutamanya antara UAE dan Arab Saudi, yang sebelum ini berselisih faham secara terbuka ekoran isu pemberontakan di Yaman pada awal tahun ini.
“Faktor paling penting untuk menyiapkan projek (kereta api serantau) ini adalah tekad institusi,” kata Samriddhi Vij, rakan sekutu di badan pemikir ORF Middle East yang berpangkalan di Dubai.
“Pelancaran di peringkat domestik ini memberikan isyarat keyakinan dan pembuktian terhadap tekad tersebut.”
– AFP
{suggest}
