U Mobile Pastikan Pengguna Waze Tiada Masalah GPS Ketika Dalam Terowong SMART

U Mobile baru sahaja bekerjasama dengan Waze dan Terowong SMART (SMART TUNNEL) untuk menyediakan perkhidmatan ketersambungan GPS bagi pemandu yang melalui terowong tersebut.



Dengan kerjasama ini, pengguna Terowong SMART tidak perlu lagi risau tentang gangguan isyarat rangkaian di kawasan tersebut dengan adanya peranti mudah alih Waze Beacons yang dipacu Bluetooth®. Buat masa ini, hampir 240 peranti Waze Beacons telah berjaya dipasang pada terowong sepanjang 5.2 km tersebut.

Peranti ini menjamin kesinambungan yang lancar dan navigasi berterusan, walaupun ketika penerimaan isyarat GPS yang lemah menerusi penyebaran isyarat tanpa wayar yang menyokong aplikasi navigasi.

Oleh itu, para pemandu hanya perlu mengaktifkan sambungan Bluetooth® pada peranti mereka bagi menjamin navigasi yang berterusan dalam terowong SMART.

Waze Beacons juga memudahkan pemandu kerana ia akan berkongsi maklumat dalam masa yang sebenar dan memberikan saranan navigasi.

Selain itu, pengguna juga akan menerima notifikasi berkaitan kesesakan lalu lintas, penutupan jalan serta kemalangan yang berlaku dalam terowong dan kawasan di sekitarnya.

Bagi pengguna yang ingin menggunakan perkhidmatan ini, para pengguna Waze di dalam Terowong Smart diingatkan untuk mengaktifkan Bluetooth untuk menikmati navigasi GPS secara berterusan.