Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
U Mobile X OpenAI

U Mobile Jalin Kerjasama Dengan OpenAI, Bakal Gunakan AI Dalam Pelbagai Operasi

Diterbitkan Ogos 13, 2026 · Dikemas kini Ogos 13, 2026 oleh Amalina Athman

U Mobile kini mengumumkan kerjasama strategik dengan OpenAI, yang menandakan satu langkah penting dalam usahanya untuk menjadi telco pertama di Malaysia dengan keupayaan AI (AI-enabled).

Kerjasama ini akan melibatkan penggunaan AI dalam pelbagai aspek operasi U Mobile, termasuk perkhidmatan pelanggan, sokongan kepada perusahaan, tenaga kerja dan keselamatan siber. Syarikat itu juga akan menggabungkan keupayaan AI OpenAI dengan rangkaian 5G generasi baharunya bagi mengubah cara telco moden beroperasi.

Menerusi kerjasama ini, U Mobile akan mendapat akses awal kepada model AI frontier terkini OpenAI. Akses tersebut akan membolehkan kedua-dua pihak meneroka, membangunkan dan melaksanakan aplikasi AI untuk kegunaan dalam operasi perniagaan.

Antara bidang yang akan diterokai termasuk mengautomasikan proses dalaman, mempercepatkan pembangunan perisian, meningkatkan analitik data dan sains data, menyokong operasi rangkaian serta keselamatan siber yang lebih pintar, selain memperkukuh keupayaan jenama serta kandungan digital.

Bagi sektor perusahaan pula, OpenAI akan menjadi Rakan Utama kepada Enterprise Innovation Platform (EIP) U Mobile. Platform ini akan menyediakan ruang kepada perniagaan, syarikat pemula, pembangun dan institusi akademik untuk mencipta, menguji serta mengesahkan penyelesaian AI menggunakan model AI frontier.

Dalam aspek keselamatan siber, U Mobile dan OpenAI akan meneroka bagaimana AI boleh meningkatkan daya tahan siber, pengesanan ancaman secara pintar serta mempercepatkan respons terhadap insiden. Kedua-dua pihak juga akan menyokong penggunaan AI yang selamat dan bertanggungjawab dalam operasi U Mobile serta ekosistem perusahaannya.

AWS pula akan menyokong kerjasama ini menerusi infrastruktur awan dan kepakaran teknikal bagi membantu U Mobile membangunkan serta memperluaskan penyelesaian AI yang dikuasakan oleh model OpenAI.

Sementara itu, OpenAI berkata kerjasama dengan U Mobile ini merupakan kerjasama pertamanya dengan penyedia telekomunikasi di Malaysia.

Secara keseluruhannya, inisiatif ini mengukuhkan komitmen U Mobile untuk memanfaatkan AI secara bertanggungjawab dalam setiap aspek perniagaannya, sambil membantu mempercepatkan penggunaan AI di Malaysia.

Berkaitan

  • vivo X300 FE VS vivo X300 Ultra: Sama DNA ZEISS, Tapi Ini Bezanya Yang Anda Wajib Tahu Sebelum Beli
  • U Mobile Dinobat Rangkaian 5G Terpantas Di Malaysia Bagi Q1–Q2 2026
  • Vibe Mobile Dilancarkan Di Malaysia, Pelan Serendah RM17/bulan
  • 10GB Data Internet Percuma Sempena Hari Kebangsaan, Hari Malaysia 2026 - Fahmi

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • Projek Pusat Data Tidak Akan Diluluskan Di Negeri Yang Kekurangan Bekalan Air - Johari Ghani
  • Siri vivo X500 Dijual Mulai 3 November, Tawar Ganjaran Lebih RM3,400
  • Straw Kertas Tidak Semestinya Lebih Mesra Alam Daripada Plastik - Kajian Penyelidik Korea Selatan
  • Scammer Dilapor Ambil Kesempatan 'Hype' Emulator PS5 Dengan Sebar Malware Kepada PC Pemain
  • China Nafi Dakwaan Jensen Huang Jadi Sasaran Pengintipan
  • Korea Selatan Rancang Dakwa Pelajar Menipu Dalam Peperiksaan Guna Cermin Mata Pintar
  • Krisis Bekalan Memori Dijangka Lebih Parah Pada 2027 - Samsung
  • Binance Digodam, AS$6.3 Bilion Aset Terjejas Dalam Kecurian Kripto Terbesar
©2026 WISER.MY