(Ulasan) TrueMoney - Tak Kedekut Mata Ganjaran & Pulangan Wang, Tapi Ada 'Benda Tak Syok'

Biasa dengar dengan platform e-dompet TrueMoney? Jika biasa, adakah anda pernah menggunakannya?

Bagi mereka yang mungkin belum tahu, TrueMoney adalah sebuah syarikat fintech dan merupakan salah satu daripada platform kewangan terbesar di Asia Tenggara.

TrueMoney yang mula dilancarkan di Malaysia sejak Januari 2023 lalu di mana ia turut disokong oleh beberapa lagi buah negara lain seperti, Indonesia, Kemboja, Myanmar dan Filipina.

TrueMoney memasuki pasaran Malaysia dengan Lotus’s Malaysia di mana ia merupakan penyedia pembayaran rasmi untuk semua lokasi Lotus’s merentas seluruh negara.

Jadi tidak hairanlah ikon Lotus’s tersedia istimewa dalam aplikasi TrueMoney.



Tetapi TrueMoney kini bukan sahaja boleh digunakan di Lotus’s sahaja, malah ia kini disokong oleh lebih daripada 12 ribu peniaga utama seperti TMT Thundermatch, Chatime, Tealive, Senheng, Econsave, CU, myNews dan banyak lagi.



Seperti e-dompet lain, TrueMoney membolehkan anda membuat pembayaran tanpa tunai di kaunter-kaunter pembayaran yang menyokongnya.

Anda boleh menambah nilai e-dompet aplikasi TrueMoney menggunakan perbankan atas talian, kad debit atau kredit dan juga menerusi pekedai yang menyediakan perkhidmatan tambah nilai untuk TrueMoney.


Kelebihan


Salah satu kelebihan utama berbelanja menerusi aplikasi TrueMoney adalah kelebihan mata ganjaran dan pulangan wang yang diberikan platform ini.

Hampir setiap bulan, ada sahaja kempen baru ditawar TrueMoney kepada para pengguna yang memberikan mata ganjaran dan pulangan wang.

Sebagai contoh, bermula 21 September 2023 lalu, apabila anda berbelanja di Lotus's, anda akan menikmati 10x mata ganjaran ke atas setiap RM1 perbelanjaan anda.

Tawaran ini masih aktif setakat artikel ini ditulis yang akan berakhir pada 18 Oktober 2023.

Selain itu, Lotus's juga kini sedang meraikan pengguna baru TrueMoney dengan menawarkan pulangan wang bernilai RM10.

Untuk pengguna sedia ada pula, mereka akan menikmati pulangan wang bernilai RM5.

Tidak setakat itu, jika anda pengunjung tegar CU pula, anda akan dapat nikmati pulangan wang segera bernilai RM2, setiap kali anda berbelanja lebih daripada RM20 di stor tersebut.



Terdapat banyak lagi mata ganjaran dan pulangan wang apabila anda berbelanja dengan aplikasi TrueMoney.

Seperti pulangan wang segera sebanyak 50% (pada setiap bulan bertarikh dari 15 hingga 18) apabila anda berbelanja tanpa nilai minimum yang ditetapkan untuk anda nikmati menerusi kempen TrueMonthly serta banyak lagi pulangan wang dan ganjaran mata dari pekedai yang menyokong platform ini.



Dengan kata lain, selain memberikan pulangan wang dan mata ganjaran, TrueMoney kini disokong oleh banyak pekedai-pekedai utama di seluruh Malaysia.

Jadi berbelanja secara tanpa tunai dengan aplikasi ini bukanlah satu isu.

Kelemahan


Walau bagaimanapun, mungkin terdapat beberapa faktor yang mungkin menyebabkan pengguna akan kembali berfikir, mengapa mereka perlu menggunakan TrueMoney?

Salah satu sebab utama itu adalah platform ini sehingga kini masih tidak menyokong ciri pindahan wang ke akaun bank. Bermakna anda tidak boleh memindahkan baki kredit wang yang ada dalam e-dompet TrueMoney ini ke akaun bank.

Sebaliknya, ia hanya membenarkan anda memindah atau berkongsi kredit antara pengguna aplikasi TrueMoney sahaja.

Jadi, ini mungkin salah satu alasan pengguna untuk tidak menggunakan aplikasi TrueMoney untuk pembayaran tanpa tunai.

TrueMoney juga tidak menyokong ciri mengimbas kod QR untuk pembayaran. Sebaliknya, ia akan mencipta kod QR dari aplikasi untuk diimbas oleh pekedai.

Kapsyen: Belum ada ciri mengimbas (ikon imbas) kod QR di Aplikasi TrueMoney.


Ringkasnya, TrueMoney sehingga kini masih belum menyokong perkhidmatan DuitNow sepenuhnya seperti DuitNow transfer, DuitNow request dan mengimbas DuitNow QR peniaga/kedai.


Kesimpulan


Apa yang dapat disimpulkan selepas menggunakan aplikasi TrueMoney dalam tempoh beberapa minggu ini adalah, menggunakannya bukanlah satu isu kerana banyak pekedai sudah menerima cara pembayaran melalaui aplikasi TrueMoney.

Menjadikannya lebih berbaloi adalah platform ini tidak kedekut memberikan pulangan wang dan mata ganjaran kepada penggunanya apabila mereka berbelanja melalui aplikasi ini.

Ia mungkin sebagai salah satu usaha untuk TrueMoney menggalakkan pengguna menggunakan e-dompet mereka.

Setiap bulan, ada sahaja ganjaran ditawarkan untuk pengguna yang boleh dimanfaatkan. Menjadikan berbelanja melalui aplikasi ini lebih nilai.

Malah mereka juga mewujudkan kempen TrueQuest di mana anda boleh mendapatkan pulangan wang bernilai sehingga RM10 apabila anda menyelesaikan misi tertentu seperti membuat pembayaran bil dan bayaran ke atas barangan di stor yang menyokong TrueMoney.



Selain itu, anda juga boleh mempromosi TrueMoney kepada pengguna lain dengan menjadi pengguna rujukan yang akan membolehkan anda menerima kredit bernilai RM1 ke atas setiap pengguna berdaftar TrueMoney baharu.

Kapsyen: Apabila anda mendaftar dengan lengkap akaun TrueMoney, anda akan dapat wang segera bernilai RM2.


Namun begitu, ketiadaan sokongan ciri penting yang boleh dikatakan wajib ada dalam sesebuah aplikasi e-dompet iaitu sokongan DuitNow sepenuhnya mungkin menjadi penyebab untuk pengguna mempersoalkan relevannya aplikasi ini kepada mereka.

Ini kerana, untuk mendapatkan kelebihan-kelebihan yang ditawar TrueMoney, mereka terpaksa menambah nilai ke dalam e-dompet TrueMoney dahulu.

Tetapi sayangnya, lebihan kredit tunai yang ada dalam TrueMoney itu pula tidak boleh dipindahkan semula ke dalam akaun bank mereka.

Jadi mereka perlu mengagak terlebih dahulu jumlah tambah nilai yang diperlukan untuk mereka berbelanja melalui TrueMoney.

Ia mungkin bukan satu isu besar, cuma ia akan menjadi sedikit menjengkelkan kepada sebahagian pengguna dalam situasi tertentu yang memungkinkan mereka perlukan tunai di tangan dan wang yang mereka ada hanyalah baki tunai yang ada di dalam e-dompet TrueMoney sahaja.

Malangnya, pemindahan tunai tersebut tidak dapat dilakukan oleh platform ini.

Tetapi keadaan ini mungkin untuk sementara sahaja. Ini kerana, TrueMoney ada menyatakan bahawa platform mereka akan tersedia menyokong DuitNow pada masa akan datang.

Untuk ketahui info lebih lanjut seperti promosi yang sedang dijalankan TrueMoney, layari laman rasmi TrueMoney Malaysia.

Aplikasi TrueMoney boleh dipasang ke dalam peranti Android dan iOS melalui Google Play Store dan Apple App Store secara percuma.

{suggest}