Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Tak Sampai RM200, Terminal Ini Boleh Ganti Semua Alat Pembayaran Anda

Posted on Jun 18, 2025

Penyedia fintech tempatan, Paydibs, hari ini mengumumkan pelancaran rasmi Paydibs NEO, sebuah terminal pintar serba lengkap yang direka khas untuk memudahkan pembayaran fizikal di kedai serta menyatukan pelbagai kaedah pembayaran ke dalam satu peranti. Fokus utama produk ini adalah untuk membantu peniaga mikro, kecil dan sederhana (MSME) menangani isu pembayaran yang berpecah seperti penggunaan QR placard, terminal kad sewaan, dan soundbox suara yang berasingan.

NEO menyokong pelbagai kaedah pembayaran yang sesuai untuk pengguna digital masa kini. Terminal ini sudah boleh menerima DuitNow QR dinamik, iaitu kod QR unik yang dijana secara automatik untuk setiap transaksi.

Ia menyokong e-dompet utama termasuk Touch ’n Go, GrabPay, MAE, Boost dan MCash, dengan lebih banyak integrasi akan diperkenalkan tidak lama lagi. Sokongan untuk pembayaran kad seperti MyDebit, Visa dan Mastercard, termasuk fungsi sentuh, cip dan PIN, juga bakal diaktifkan tidak lama lagi.

NEO turut bersedia menyokong perkhidmatan Buy Now Pay Later seperti Shopee PayLater, Grab PayLater, Atome dan AhaPay dalam fasa akan datang.

Ciri-ciri utama terminal ini termasuk dua skrin untuk paparan pelanggan dan peniaga, slot cip dan PIN untuk keselamatan, papan kekunci fizikal, serta fungsi suara dalam pelbagai bahasa. Pengguna juga boleh melihat sejarah transaksi terus dari terminal tanpa perlu log masuk ke portal berasingan.

Untuk perniagaan berskala lebih besar, NEO juga boleh diintegrasikan dengan sistem Point of Sale (POS) sedia ada bagi meningkatkan kecekapan operasi.

NEO menyokong sambungan melalui WiFi dan SIM, memberikan pilihan sambungan yang fleksibel mengikut keperluan peniaga.

Paydibs turut menawarkan pelan data Maxis selama 12 bulan pada harga RM30, yang merupakan antara pakej paling berpatutan di pasaran.

Bateri berkapasiti 2600mAh mampu bertahan lebih 48 jam penggunaan aktif, dan terminal ini telah diperakui oleh PCI DSS, EMV dan SIRIM untuk memastikan tahap keselamatan dan pematuhan industri.

NEO kini ditawarkan pada harga pelancaran RM189 untuk 2,000 unit pertama berbanding harga runcit asal RM259. Tiada kontrak atau yuran tahunan dikenakan. Proses pendaftaran adalah sepenuhnya digital dan hanya memerlukan nombor pendaftaran SSM, dengan kelulusan biasanya siap dalam masa 60 minit. Paydibs akan mula menghantar terminal NEO kepada pelanggan bermula 23 Jun 2025.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2025 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress