Pemilik kucing dan anjing kini boleh menarik nafas lega apabila haiwan kesayangan mereka tidak lagi kesunyian ketika ditinggalkan bekerja, selepas gergasi teknologi China, Tencent, melancarkan saluran penstriman khas 24 jam untuk haiwan peliharaan.
Saluran yang dinamakan sebagai “PetTV” ini tersedia di platform Tencent Video di mana ia perkhidmatan penstriman paling popular di China.
Pengisiannya merangkumi klip video seperti anak itik yang sedang berenang di dalam besen atau aksi anjing yang sedang “meronda” di kawasan perumahan mereka.
Tujuan utama saluran ini diperkenalkan adalah untuk menemani haiwan peliharaan ketika pemiliknya tiada di rumah, selain boleh dijadikan aktiviti santai yang dinikmati bersama antara haiwan dan manusia.
https://x.com/XHNews/status/2039576083960611065?s=20
Melalui ruangan sembang di laman penstriman tersebut, rata-rata pengguna menunjukkan keterujaan dengan pengisian ini, malah ada yang bertanya bila giliran program khas untuk kucing pula akan ditayangkan.
Dalam satu hantaran di aplikasi WeChat, Tencent Video menyifatkan PetTV sebagai “hab kebahagiaan 24 jam yang direka khas untuk anak-anak bulu anda.”
Memandangkan deria anjing dan kucing sangat berbeza daripada manusia, Tencent menjelaskan bahawa warna, kadar segar semula (refresh rate), dan frekuensi audio bagi saluran ini telah dilaraskan mengikut keperluan spesifik haiwan-haiwan tersebut.

PetTV ditawarkan kepada pelanggan berbayar Tencent Video. Berdasarkan kajian pasaran syarikat tersebut, sebanyak 66 peratus pemilik anjing didapati sengaja membiarkan televisyen terpasang untuk haiwan peliharaan mereka ketika mereka keluar rumah.
Tencent Video juga mengambil kesempatan menggunakan kandungan pihak ketiga, termasuk menyiarkan DogTV dari Amerika Syarikat, iaitu perkhidmatan penstriman dan saluran TV pertama di dunia untuk haiwan peliharaan. Langkah ini dilihat sangat strategik memandangkan nilai pasaran haiwan peliharaan di bandar-bandar China dianggarkan bakal mencecah 405 bilion yuan (sekitar RM266 bilion) menjelang tahun 2028.
Data menunjukkan bahawa secara purata pada tahun lalu, isi rumah di China membelanjakan lebih daripada 3,000 yuan (RM1,900) bagi setiap anjing dan lebih daripada 2,000 yuan (RM1,300) bagi setiap kucing untuk keperluan penjagaan mereka.
Selain Tencent, platform lain seperti aplikasi meditasi Headspace turut mula menawarkan kandungan khas seperti muzik penenang berdurasi 6 jam untuk kucing dan anjing yang merindui pemilik mereka. – AFP
{suggest}
