Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
Taliban Haramkan Semua Kakitangan Kerajaan Guna Telefon Pintar, Pemimpin Tertinggi Dikecualikan

Taliban Haramkan Semua Kakitangan Kerajaan Guna Telefon Pintar, Pemimpin Tertinggi Dikecualikan

Diterbitkan Jun 18, 2026 oleh ariff bukhari

Kakitangan kerajaan di beberapa wilayah di Afghanistan mula mematikan telefon pintar mereka berikutan arahan yang dikuatkuasakan pada hari Rabu.

Menurut kenyataan mereka kepada AFP, arahan tersebut dikeluarkan oleh Pemimpin Tertinggi, Hibatullah Akhundzada.

Satu surat yang mengumumkan larangan penggunaan telefon pintar bagi semua kakitangan kerajaan mula tular di media sosial minggu lalu di bawah lambang Mahkamah Agung.

Pihak mahkamah bagaimanapun tidak memberikan maklum balas terhadap permintaan AFP untuk mendapatkan ulasan.

“Semua ketua jabatan di wilayah masing-masing dinasihatkan untuk memaklumkan kepada kakitangan mereka, sama ada yang berpangkat tinggi mahupun rendah, bahawa penggunaan telefon pintar adalah dilarang sama sekali bermula 17 Jun,” menurut surat berkenaan.

Arahan itu merujuk kepada semua kakitangan jabatan tentera dan awam, serta menyatakan bahawa pengecualian hanya boleh diberikan oleh pemimpin tertinggi.

Sehingga petang Rabu, beberapa jabatan kerajaan pusat dilihat masih menyebarkan maklumat melalui kumpulan WhatsApp mereka.

Dua jurucakap kerajaan Afghanistan tidak menjawab permintaan AFP untuk mengulas mengenai keputusan tersebut.

Di wilayah Ghazni, yang terletak di antara ibu negara Kabul dan pusat pentadbiran pemimpin tertinggi di Kandahar, kakitangan kerajaan mula mendaftar keluar daripada telefon pintar mereka sejak malam Selasa.

“Telah diputuskan bahawa bermula hari Rabu, penggunaan telefon pintar di dalam semua pejabat di wilayah Ghazni adalah dilarang,” tulis Irfan Andarh, seorang pegawai dari jabatan perlombongan dan petroleum, dalam sebuah kumpulan WhatsApp yang dilihat oleh AFP.

Sambil memetik keputusan pemimpin tertinggi itu, beliau menulis bahawa kakitangan boleh dihubungi “melalui panggilan telefon dan e-mel”.

Seorang pekerja perbandaran di Ghazni, yang enggan dikenali atas faktor keselamatan, berkata mereka telah diberi amaran bahawa sesiapa yang menggunakan telefon pintar akan dipecat dan berdepan tindakan undang-undang.

‘Benar-benar Menyayat Hati’

Di kawasan pedalaman Badakhshan yang terletak di timur laut Afghanistan, seorang kakitangan jabatan penerangan wilayah berkata hukuman bagi pelanggaran peraturan tersebut adalah enam bulan penjara.

“Satu dekret lisan daripada Emiriah Islam (Afghanistan) telah dibacakan, dan semua ketua jabatan kerajaan telah diarahkan bahawa bermula hari ini dan seterusnya, tiada seorang pun kakitangan pejabat Taliban dibenarkan menggunakan telefon pintar,” katanya.

Setakat ini, sejauh mana peraturan itu dilaksanakan di seluruh Afghanistan serta skala impaknya masih belum jelas sepenuhnya.

Bagaimanapun, tiga kakitangan kerajaan di Badakhshan memberitahu AFP bahawa keputusan itu akan menyukarkan mereka untuk menjalankan tugas. Mereka bercakap secara awanama atas faktor keselamatan.

Seorang kakitangan jabatan pengangkutan berkata dia selama ini menggunakan WhatsApp untuk berkongsi maklumat mengenai pergerakan kargo.

“Kini, dengan adanya larangan ini, kerja kami boleh terganggu malah mungkin menjadi mustahil untuk dilakukan,” katanya.

Seorang guru menyifatkan keputusan itu sebagai “benar-benar menyayat hati” dan menceritakan bahawa telefon pintarnya telah dirampas pada hari Rabu, sebelum dipulangkan semula dengan amaran agar tidak membawanya lagi.

“Kami memerlukan aplikasi untuk kekal berhubung dengan pelajar dan mendengar masalah mereka. Sebagai contoh, di dalam kumpulan WhatsApp, mereka boleh berkongsi masalah dalam kelas serta soalan berkaitan kerja rumah mereka,” katanya.

Seorang kakitangan dari jabatan pendidikan wilayah pula berkata dia sering menggunakan alatan kecerdasan buatan (AI) pada telefon pintarnya untuk menterjemah antara bahasa ibundanya, Dari, ke bahasa Pashto—iaitu bahasa yang digunakan dalam komunikasi rasmi kerajaan.

“Kemudian barulah saya akan menghantar jawapan tersebut kepada kementerian. Sekarang saya tidak tahu apa yang akan terjadi,” katanya kepada AFP.

Pihak berkuasa Taliban telah memerintah selama hampir lima tahun berdasarkan tafsiran undang-undang Islam yang ketat.

Tahun lepas, akses jalur lebar telah disekat di beberapa wilayah selama berminggu-minggu, sebelum pihak kerajaan secara mengejut memutuskan rangkaian internet dan telefon di seluruh negara.

Kehidupan harian lumpuh sepenuhnya selama dua hari, menjejaskan operasi bank, menyekat penerbangan, dan mencetuskan huru-hara di hospital-hospital sebelum talian komunikasi dipulihkan semula. – AFP.

Berkaitan

  • Direka untuk Esports, iQOO 15R Janjikan Pengalaman Gaming Mengujakan
  • Agensi Kesihatan Sweden Syorkan Kanak-Kanak Bawah 13 Tahun Tidak Diberi Telefon Pintar

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • Pulau Pinang Sedang Bangunkan Pulau Silikon, Bakal Tawar 220,000 Peluang Pekerjaan
  • 3 Headphone ANC Bawah RM200
  • Kadar Tambang ECRL Akan Diumumkan Menjelang Akhir Oktober - Operasi Disasar Bermula Pertengahan Disember
  • Tiket Tonton Filem Dan Teater Di Wilayah Persekutuan Dikecualikan Duti Hiburan
  • Belanjawan 2027: Belia Lengkapkan Jam Sukarelawan Layak Terima RM100 E-Dompet Secara 'One-Off'
  • Belanjawan 2027: Kerajaan Tambah 100,000 Langganan AI Percuma, Termasuk ChatGPT
  • TNB Labur RM15 Bilion Perkukuhkan Grid Nasional
  • Belanjawan 2027: NSRC Akan Bangunkan Aplikasi AI, Bantu Pengguna Semak Butiran Mencurigakan
©2026 WISER.MY