Swift 3 Dan Spin 5 Merupakan Laptop Terbaru Dari Acer Dengan Paparan Nisbah 3:2

Dalam pasaran sekarang memang hanya ada sedikit sahaja laptop dengan paparan 3:2. Antara model yang popular dengan paparan sebegitu adalah Microsoft Surface. Namun, disebabkan harganya agak mahal, pengguna tidak mempunyai banyak pilihan selain menunggu pengeluar laptop lain menghasilkan laptop dengan paparan 3:2.

Pengguna kini boleh menarik nafas lega kerana Acer telah menambah kepada senarai laptop dengan nisbah 3:2 melalui Acer Swift 3 dan juga Spin 5 pada CES 2020 baru-baru ini.

Mengapa nisbah 3:2?


Jika anda seorang programmer yang setiap hari membaca bait kod ataupun pereka grafik, nisbah 3:2 akan memaparkan kandungan menegak yang lebih banyak dan selesa dilihat. Ini adalah berbeza dengan nisbah tradisional 16:9 di mana ia lebih sesuai untuk permainan video dan juga tontonan media.


Acer Swift 3


Acer Swift 3 didatangkan dalam 2 variasi utama iaitu 13.5 inci cip Intel dan lagi satu 14 inci cip AMD. Namun hanya model 13.5 inci sahaja yang dilengkapi dengan nisbah 3:2, manakala 14 inci hanya dengan nisbah tradisional 16:9 sahaja.

Untuk versi 13.5 inci tersebut, cip Intel yang digunakan adalah gen ke-10 dari pilihan i3, i5, dan juga i7. Paparan yang digunakan adalah IPS LCD dengan resolusi 2256 x 1504. Ketepatan warna yang di ukur aras adalah pada 100% sRGB gamut warna.

Untuk bahagian grafik, ia tiada kad grafik berasingan dan hanya menggunakan pemprosesan grafik terbina Intel Iris Plus Graphics sahaja. Bersama-sama itu, RAM menyokong sehingga 16GB dan storan SSD PCIe NVMe sehingga 1TB.

Acer mendakwa bateri mampu bertahan sehingga 16 jam menggunakan bateri 56Wh dan turut menyokong pengecasan pantas.

Ciri Wi-Fi 6 turut dimuatkan. Selain itu, ia juga menyokong Thunderbolt 3, USB-A, HDMI, dan juga bicu audio 3.5mm.

Acer Swift 3 dengan cip Intel ini akan dijual pada harga 699USD (~RM2,849) bermula Mac ini.

Acer Spin 5


Ini merupakan laptop 2-in-1 yang mempunyai 2 mod, iaitu laptop dan boleh dilipat menjadi tablet. Highlight utama laptop ini adalah nisbah paparan yang digunakan iaitu 3:2. Ia mempunyai resolusi 2256×1504 dengan paparan bersaiz 13.5 jenis IPS LCD.

Laptop juga mempunyai berat 1.2kg dengan ketebalan kerangka 14.9mm. Untuk CPU ia menggunakan cip Intel Core i5 dan i7 gen ke-10 dengan pemprosesan grafik Intel Iris terbina. RAM pula adalah sehingga 16GB DDR4X.

Ia juga turut menyokong storan bermula 256GB PCIe SSD sehingga 1 TB. Fungsi lain termasuklah Wi-Fi 6 serta Bluetooth 5.0. Untuk bateri, Acer mendakwa ia mampu bertahan sehingga 15 jam penggunaan.

Acer Spin 5 dijual pada harga 899USD (~RM3,664) juga bermula Mac depan.

Sumber: Acer

Berkaitan