Spotify dilaporkan memperketat penguatkuasaan peraturan perkongsian Premium Family dengan meminta sesetengah ahli mengesahkan alamat kediaman bagi memastikan mereka tinggal bersama pengurus pelan.
Mula dilaporkan Android Authority, beberapa pengguna Reddit menyatakan telah menerima permintaan untuk mengesahkan semula alamat kediaman bagi pelan Premium Family melalui imbasan kod QR.

Menerusi halaman sokongannya, Spotify menjelaskan hanya sesetengah ahli Premium Family mungkin diminta menjalani pengesahan ini bagi memastikan mereka tinggal di alamat yang sama dengan pengurus pelan.
Untuk melengkapkan proses tersebut, pengurus pelan perlu membuka kod QR melalui bahagian Your Premium dan Manage dalam aplikasi Spotify. Ahli kemudian perlu mengimbas kod itu menggunakan kamera telefon masing-masing, dengan kedua-dua pihak perlu berada di lokasi yang sama untuk menyelesaikan pengesahan.

Difahamkan, kod QR tersebut juga akan berubah setiap beberapa saat, menyebabkan tangkap layar sukar digunakan untuk melengkapkan proses tersebut. Namun begitu, ada juga pengguna Reddit yang mendakwa berjaya melepasi semakan itu dengan menggunakan ciri perkongsian skrin dan beberapa peranti.

Ahli yang menerima notifikasi pengesahan mempunyai tempoh 7 hari untuk melengkapkan proses tersebut. Jika gagal berbuat demikian dalam tempoh ditetapkan, mereka akan kehilangan akses kepada Premium Family.
Selain itu, mereka juga tidak boleh menyertai pelan Family atau Duo lain selama 12 bulan, tetapi masih boleh melanggan pelan individu.
