Spesifikasi Penuh OnePlus 8 Dan 8 Pro - 120Hz, Kuad Kamera, 4510mAh, IP68, Dan Pengecasan Tanpa Wayar

Kurang dari sebulan lagi tarikh jangkaan pelancaran siri OnePlus 8, hari ini maklumat dan spesifikasi peranti ini mula didedahkan. Akan tetapi ia bukanlah dari OnePlus sendiri sebaliknya spesifikasi ini didedahkan oleh @ishanagarwal24.

Dibawah ini merupakan kicauan beliau yang menceritakan spesifikasi dua peranti tersebut - OnePlus 8 Pro dan OnePlus 8. Kelihatannya, spesifikasi OnePlus 8 Pro lebih ekstra dan jauh lebih menarik berbanding OnePlus 8 biasa.

https://twitter.com/ishanagarwal24/status/1242889686634250241?ref_src=twsrc%5Etfw%7Ctwcamp%5Etweetembed%7Ctwterm%5E1242889686634250241&ref_url=https%3A%2F%2Fwww.androidauthority.com%2Foneplus-8-pro-specs-sheet-1098154%2F

Dari segi paparan, OnePlus 8 Pro akan bersaiz sedikit lebih besar 6.78 inci berbanding OnePlus 8 pada saiz 6.55 inci. Resolusi dan kadar segar semula juga berbeza. OnePlus 8 Pro dengan Quad HD+ 120Hz manakala OnePlus 8 hanya FHD+ 90Hz sahaja.

Untuk storan dalaman, ia menerima konfigurasi yang sama iaitu minimum 128GB dan pilihan lain 256GB dengan kelajuan UFS 3.0. RAM juga sama dengan pilihan 8GB/12GB namun ia dibezakan dengan jenis teknologi - OnePlus 8 Pro dengan LPDDR5, OnePlus 8 hanya LPDDR4X sahaja.

Cip pemprosesan adalah sama dengan Snapdragon 865 yang menyokong 5G. Untuk kamera pula, OnePlus 8 Pro disertakan dengan kuad kamera belakang di mana OnePlus 8 mempunyai 3 kamera. Kamera swafoto masih lagi hanya 1 lensa untuk kedua-dua model dengan sensor 16MP.

Dengan saiz dimensi yang sedikit besar, OnePlus 8 Pro dimuatkan dengan saiz bateri yang lebih besar 4,510mAh berbanding 4,300mAh pada OnePlus 8. Jika ada yang mahukan jenama OnePlus menyokong pengecasan tanpa wayar, OnePlus 8 Pro merupakan peranti pertama yang akan menyokongnya. Selain itu, terdapat juga pengecasan tanpa wayar berbalik. Sebaliknya pada OnePlus 8, hanya terdapat pengecasan berwayar sahaja dengan 30W dan tiada tanpa wayar.

Akhirnya, setelah bertahun-tahun diminta oleh peminat OnePlus, syarikat itu buat pertama kalinya menyertakan piawaian kalis air dan habuk IP68 pada OnePlus 8 Pro. OnePlus 8 pula langsung tiada piawaian, namun ia mungkin seperti model-model sebelum ini yang juga mempunyai perlindungan dari kalis air namun tanpa piawaian yang rasmi.

Dengan segala spesifikasi terkini dimuatkan yang tidak pernah hadir pada peranti-peranti OnePlus sebelum ini, kami menjangkakan harga siri ini terutamanya OnePlus 8 Pro akan lebih tinggi. Apa yang peminat-peminat OnePlus idamkan selama ini sudah tercapai. Persoalannya, mampukah anda untuk membayar harganya?

Sumber: ishanargawal24

 

Berkaitan