Sony Xperia 1 Boleh Mula Di Pra-Tempah Bermula Esok Pada Harga RM4299

Sony Xperia 1 telah diperkenalkan buat pertama kali  pada acara MWC 2019 bulan Februari yang lalu. Ketika itu, tiada tanda-tanda ia akan hadir untuk pasaran Malaysia ditambah pula dengan perkhabaran bahawa Malaysia bukan lagi fokus utama telefon pintar dari Sony.

Meskipun begitu, beberapa minggu yang lalu, Sony Xperia 1 dikatakan telah dikesan pada pangkalan data SIRIM memberi gambaran ia sudah bersedia untuk dipasarkan dalam negara.

Bermula esok, 25 Ogos sehingga 6 Oktober hadapan, Sony Xperia 1 boleh dibeli secara pra-tempah pada tanda harga RM4299.  Disamping itu, bakal pembeli juga akan menerima fon telinga Sony WH-1000XM3 bernilai RM1599 secara percuma.

Kapsyen: Imej | Lowyat.net


Menurut Lowyat.net, pra-tempah boleh dibuat melalui kedai dalam talian Sony serta pusat jualan rasmi Sony dengan pembelian hanya terhad kepada 1 unit untuk setiap pembeli.

Dari segi spesifikasi, peranti dilengkapi dengan skrin paparan 6.5 inci OLED 4K, Snapdragon 855, RAM 6GB, storan 128GB beserta sokongan kad MikroSD 512GB.  Tiga kamera belakang terdiri daripada tiga lensa 12MP; 26mm untuk lensa utama, 16mm wide-eye dan 52mm untuk telefoto disertakan dengan penstabilan hybrid OIS/EIS sementara bahagian hadapan menggunakan lensa 8MP.



Dijana dengan bateri 3300mAh, pengecasan Xperia Adaptive Charging disalurkan melalui port pengecasan USB-C.