Siri Xiaomi 14 Diumumkan - SD 8 Gen 3, HyperOS, Kecerahan 3000 Nit

Pada acara yang berlangsung di China sebentar tadi, Xiaomi telah mengumumkan sejumlah produk baharu. Antaranya termasuk siri Xiaomi 14, sistem operasi HyperOS dan Xiaomi Watch S3.

Bagi siri Xiaomi 14, ia didatangkan dengan dua varian iaitu Xiaomi 14 dan Xiaomi 14 Pro. Seperti disahkan sebelum ini, kedua-dua model menjadi yang pertama dilancarkan dengan janaan cip Snapdragon 8 Gen 3 serta menjalankan sistem operasi baharu Xiaomi HyperOS.

{suggest}

Xiaomi 14 Pro




Menjadi model premium dalam siri ini, Xiaomi 14 Pro dilengkapi skrin LTPO AMOLED berukuran 6.73-inci dengan lengkung 2.5D di keempat-empat bucu, resolusi 2K, kadar segar semula adaptif 1-120Hz serta maksimum kecerahan 3,000 nit dan 522PPI. 

Skrinnya mempunyai perlindungan Xiaomi Ceramic Glass, yang dibangunkan sendiri oleh Xiaomi. Ia dikatakan lebih berkuasa berbanding Ceramic Shield Apple dan Gorilla Glass Victus 2.



Menguasakan peranti adalah cip Snapdragon 8 Gen 3 bersama gandingan memori sehingga 16GB RAM LPDDR5x dan 1TB UFS 4.0 storan.

Untuk kemampuan fotografi, Xiaomi 14 Pro dimuatkan tetapan lensa Leica Summilux generasi baharu. Tiga lensa di bahagian panel belakang terdiri daripada; 50MP utama Light Fusion 900 dengan sensor 1/1.31" , 50MP ultra lebar dan 50MP telefoto 3.2x zum optik. Kamera swafoto dimuatkan sensor 32MP yang menyokong rakaman video 4K/60fps. 



Sensor Light Fusion 900 pada lensa utama dipasang dengan apertur boleh ubah dari f/1.42 - f/4. Lensa ultra lebar juga sama, tetapi mempunyai keupayaan autofokus sehingga 5cm super makro.

Selain itu, peranti ini diisi dengan bateri berkapasiti 4,880mAh bersama sokongan pengecasan 120W serta mempunyai perlindungan IP68, sokongan Wi-Fi 7 dan sebagainya. Tiga pilihan warna tersedia iaitu Black, White dan Jade Green.



Terdapat juga versi Titanium Edition yang dilengkapi bingkai dari jenis titanium, serta mempunyai perlindungan Xiaomi Ceramic Glass untuk kedua-dua panel depan dan belakang.


Xiaomi 14




Xiaomi 14 membawakan saiz yang lebih kecil dengan spesifikasi seakan versi Pro. Ia dilengkapi skrin LTPO OLED bersaiz 6.36-inci dengan resolusi 1.5K, kadar segar semula adaptif 1-120Hz, serta maksimum kecerahan 3,000 nit. 

Peranti ini tersedia dengan sokongan memori maksimum 12GB RAM LPDDR5x dan 1TB storan berasaskan UFS 4.0.



Dari segi kamera, peranti ini dimuatkan dengan tetapan tiga kamera belakang, iaitu 50MP utama dengan sensor 1/1.31", 50MP ultra lebar, 50MP telefoto serta 32MP swafoto. Walaupun dilengkapi sensor Light Fusion 900, tetapi Xiaomi 14 tidak mempunyai apertur boleh ubah seperti versi Pro.

Bagi menghidupkan peranti, Xiaomi 14 dimuatkan kapasiti bateri 4,610mAh dengan sokongan pengecasan 90W. Antara lainnya, ia dilengkapi penarafan IP68, sokongan dwi-5G, Wi-Fi 7, Bluetooth 5.4 dan sebagainya.



Terdapat empat pilihan warna yang ditawarkan iaitu Black, White, Jade Green dan Snow Mountain Pink.

Harga


Harga jualan Xiaomi 14 dan Xiaomi 14 Pro adalah seperti berikut:

Xiaomi 14

  • 8GB+256GB - 3,999 yuan (~RM2,615)

  • 12GB+256GB - 4,299 yuan (~RM2,811)

  • 16GB+512GB - 4,599 yuan (~RM3,008)

  • 16GB+1TB - 4,999 yuan (~RM3,269)


Xiaomi 14 Pro

  • 12GB+256GB - 4,999 yuan (~RM3,269)

  • 16GB+512GB - 5,499 yuan (~RM3,596)

  • 16GB+1TB - 5,999 yuan (~RM3,923)


Xiaomi 14 Pro Titanium Edition

  • 16GB+1TB - 6,499 yuan (~RM,4250)


Buat masa ini, ia hanya ditawarkan untuk pasaran China dan belum diketahui bila siri Xiaomi 14 akan dilancarkan untuk pasaran global.