Siri Huawei Mate 20 Bakal Dilancarkan Secara Rasmi Pada 16 Oktober Ini

Seiring dengan perkenalan cip pemprosesan berkuasa tinggi terbaru HiSilicon, Kirin 980 semalam, Huawei telah mengesahkan bahawa siri perdana Mate 20-nya akan dilancarkan secara rasmi pada 16 Oktober ini. Ia akan diadakan secara global di bandar terkemuka England iaitu London.

Siri Mate 20 akan merangkumi tiga variasi model berbeza iaitu Mate 20, Mate 20 Pro serta Mate 20 Lite.  Mate 20 dan Mate 20 Pro disahkan akan menjadi peranti pertama yang menggunakan cip Kirin 980, manakala Mate 20 Lite dikatakan akan menggunakan sistem cip yang lebih rendah, Kirin 710.

Kredit : wccftech


Selain itu, Mate 20 juga mungkin akan dilengkapi dengan tri-kamera utama seperti yang dimiliki oleh P20 Pro. Dari segi paparan hadapan pula, ia akan didatangkan dengan skrin 6.3-inci AMOLED dengan rekaan takuk kecil atau waterdrop, bateri sebesar 4,200mAh serta fungsi pengecasan tanpa wayar terpantas setakat ini.

Bagaimanapun, walaupun diperolehi dari sumber yang boleh dipercayai, semua spesifikasi dalam perenggan di atas adalah masih belum rasmi. Mungkin akan ada kejutan daripada pihak Huawei di masa akan datang memandangkan tarikh pelancarannya masih berbaki lebih sebulan dari sekarang.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, anda boleh ikuti laman rasmi Huawei Malaysia di Facebook.

 

Sumber