Huawei Mate 20 Mungkin Hadir Dengan Pengecasan Tanpa Wayar Terpantas

Di kala Huawei masih lagi mahu berahsia mengenai tarikh pelancaran peranti perdana terbarunya, Mate 20, pelbagai maklumat mengenai peranti tersebut telah tertiris di dalam dunia internet sejak beberapa minggu lepas. Yang terkini, model dalam siri tersebut dilaporkan akan hadir dengan pengecasan tanpa wayar terpantas, dengan kuasa 20W.



Fungsi ini dilihat bersesuaian dengan kapasiti bateri gergasi yang dikatakan akan digunapakai oleh model Mate 20 itu nanti. Sebelum ini kami pernah melaporkan bahawa Mate 20 Pro mungkin akan hadir dengan bateri yang lebih besar berbanding model Huawei sebelumnya seperti P20 Pro dan Mate 10 Pro yang menggunakan bateri 4,000 mAh.



Selain daripada pengecasan tanpa wayar ini, antara maklumat lain mengenai siri Mate 20 yang telah tertiris sebelum ini ialah penggunaan kamera utama tiga lensa, cip pemprosesan baru Hisilicon Kirin 980 dan dikatakan akan mempunyai skrin dwi-lengkung OLED.

Sekiranya semua maklumat hasil tirisan ini tepat, Huawei Mate 20 pastinya akan menjadi antara peranti terbaik pada tahun ini. Huawei sebelum ini telah berjaya menggegar arena telefon pintar dengan siri Huawei P20 nya. Mampukah Mate 20 mengatasi 'saudara'nya itu? Sama-sama kita nantikan.

 

Sumber