Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

BuildCores Tawar Pengalaman Bina PC Dalam 3D, Percuma Untuk Semua

Posted on Julai 14, 2025

Bagi peminat dunia bina PC, permainan seperti PC Building Simulator bukan lagi sesuatu yang asing. Permainan tersebut membolehkan pengguna memasang dan menguji komponen komputer dalam persekitaran maya 3D yang realistik.

Namun, akses kepada permainan ini memerlukan bayaran, dan tidak semua pengguna mahu atau mampu melabur untuk sekadar mencuba pengalaman membina PC secara maya.

Kini, terdapat satu alternatif yang menarik dan percuma. Seorang pengguna Reddit baru-baru ini berkongsikan bahawa beliau bersama rakannya telah membangunkan sebuah laman web yang dikenali sebagai BuildCores, yang menawarkan pengalaman membina PC dalam bentuk interaktif dan visual 3D, terus dari pelayar web atau peranti mudah alih.

Menurut pembangunnya, laman ini telah dibangunkan selama lebih dua tahun dan kini menampilkan lebih 500 komponen PC dalam bentuk 3D yang boleh diakses dan diuji secara maya. Ia bukan sekadar alat visual semata-mata, malah turut mengandungi semakan keserasian (compatibility checking), spesifikasi teknikal, dan simulasi binaan penuh seperti dalam permainan.

Antara ciri utama BuildCores termasuk kemampuan untuk memilih dan menyusun komponen seperti CPU, GPU, casing, RAM, dan PSU secara realistik. Pengguna juga boleh melihat binaan mereka dari pelbagai sudut, menyemak keserasian antara komponen, dan menyimpan binaan tersebut dalam bentuk pautan yang boleh dikongsi kepada orang lain. Menariknya, semua ini boleh dilakukan tanpa sebarang pendaftaran atau pemasangan aplikasi.

Lebih menarik lagi, BuildCores dibangunkan berasaskan pendekatan sumber terbuka. Pembangun telah membuka akses kepada pangkalan data komponen PC mereka, membolehkan sesiapa sahaja menyumbang atau menggunakannya untuk tujuan pembangunan aplikasi atau kajian sendiri.

Dokumentasi dan pautan GitHub turut disediakan untuk mereka yang ingin terlibat secara lebih aktif dalam pembangunan projek ini.

BuildCores sesuai untuk pelbagai jenis pengguna, termasuk pelajar yang ingin belajar membina PC, pembeli yang mahu membuat perbandingan sebelum membeli, kedai komputer yang ingin membuat demonstrasi kepada pelanggan, serta pencipta kandungan yang memerlukan visual binaan PC untuk tujuan penerbitan.

Laman web ini boleh diakses di www.buildcores.com. Ia berfungsi sepenuhnya dalam pelayar moden dan menyokong penggunaan di desktop, tablet, dan telefon pintar.

Jika anda kurang gemar menggunakan pelayar web, anda juga boleh memuat turun aplikasinya di iOS dan Android.

Sebagai peminat membina PC, BuildCores adalah sesuatu yang menarik. Ia memudahkan untuk saya melihat gambaran keseluruhan set up termasuk membandingkan harga komponen sebelum membelinya.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2025 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress