Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalin kerjasama strategik dengan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) bagi melaksanakan Projek Rintis Sistem Keselamatan Warga Emas yang Tinggal Bersendirian di Razak Mansion, di sini, hari ini.
Sidang media pelancaran projek tersebut dihadiri Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.
Projek rintis ini yang melibatkan 25 hingga 50 buah kediaman itu bertujuan mempertingkat tahap keselamatan serta kesejahteraan golongan warga emas.
Kementerian Komunikasi dalam satu kenyataan berkata, sistem berasaskan teknologi Internet Kebendaan (IoT) ini dilengkapi pengesan pintar yang berupaya mengenal pasti situasi berisiko seperti insiden terjatuh, pergerakan luar biasa atau ketiadaan pergerakan dalam tempoh tertentu, sekali gus membolehkan bantuan awal disalurkan segera.
Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Pengarah JWP, Datuk Muhammad Azmi bin Mohd Zain; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr. Fadlun bin Mak Ujud serta Ketua Bahagian Pembangunan Teknologi Memuncul MCMC, Ir. Ts. Dr. Karl Ng Kah Hou.


