Selepas Nothing Chats, Sunbird Turut Tutup Sementara Aplikasi iMessage Versi Android

Sunbird, aplikasi yang membawa keupayaan iMessage untuk Android, telah menutup sementara perkhidmatannya susulan isu keselamatan.

{suggest}

Sunbird dilancarkan pada 2022 sebagai aplikasi iMessage untuk Android. Tetapi, baru-baru ini, syarikat itu telah menarik perhatian kerana bekerjasama dengan Nothing untuk aplikasi "Nothing Chats" yang menawarkan keupayaan iMessage pada Phone (2).

Tidak sampai sehari dilancarkan, Nothing Chats telah dialih keluar daripada Google Play Store, atas sebab isu privasi dan keselamatan yang terbongkar.

Walaupun Nothing mengatakan langkah itu bertujuan bagi membetulkan beberapa pepijat, beberapa bukti mendedahkan ia lebih kepada isu keselamatan dan privasi yang serius.

Nothing Chats, dan seterusnya Sunbird, gagal memenuhi janji penyulitan hujung ke hujung untuk mesej dan fail pengguna, dengan data itu agak mudah diakses oleh pengguna lain. Lebih 630,000 fail boleh diakses melalui kerentanan itu, di mana Sunbird mendakwa bahawa data tidak disimpan pada pelayannya sendiri – secara teknikalnya benar, kerana data pengguna disimpan melalui Firebase.

Sementara itu, Sunbird dalam notifikasi kepada pengguna mengatakan,
We are investigating the security issues raised in the last 24 hours. In an abundance of caution and to protect your confidential data, we are shutting down Sunbird media temporarily...We will update you when we are ready to proceed

Tidak jelas bila perkhidmatan tersebut akan kembali tersedia. Tambahan pula, Sunbird tidak membuat sebarang kenyataan rasmi setakat ini, selain hanya memberikan notifikasi kepada pengguna.

Sumber: 9to5Google