Samsung Electronics secara rasmi memperluaskan barisan skrin Onyx Cinema LED mereka dengan memperkenalkan model standard 14 meter di CinemaCon 2026.
Langkah ini diambil bagi memenuhi permintaan pihak pawagam yang kini lebih fokus kepada penyediaan dewan tontonan premium yang menawarkan pengalaman imersif yang sukar ditandingi oleh sistem hiburan di rumah.
Model terbaharu ini mengekalkan kualiti visual platform Onyx namun pada skala yang lebih besar, serta menyokong resolusi 4K dengan kadar segar semula 120Hz.
Dari segi teknikal, skrin 14 meter ini menggunakan pixel pitch 3.3mm yang dioptimumkan untuk memastikan ketajaman imej kekal konsisten.

Menariknya, sistem ini mempunyai sokongan penskalaan fleksibel yang membolehkan skrin diperluaskan sehingga 20 meter lebar mengikut kesesuaian ruang dewan.
Sebagai paparan LED pawagam pertama yang menerima sijil DCI, Onyx menawarkan tahap kecerahan puncak sehingga 300 nits, iaitu kira-kira enam kali ganda lebih cerah berbanding standard unjuran konvensional.
Kelebihan utama teknologi LED ini adalah keupayaannya memaparkan warna hitam yang benar-benar pekat (true black) dan nisbah kontras yang hampir infiniti, sekali gus memberikan perincian yang lebih mendalam pada babak gelap.
Setakat ini, penggunaan Onyx semakin berkembang di peringkat global, termasuk pemasangan di kompleks mewah Pathé Dar Essalam, Maghribi dan Trilith Cinemas di Amerika Syarikat.
Selain tayangan filem, Samsung turut memposisikan Onyx sebagai penyelesaian ideal untuk kandungan alternatif seperti siaran sukan secara langsung, konsert, dan acara permainan (gaming) kerana kualiti imejnya yang tidak terjejas oleh kedudukan tempat duduk penonton.
{suggest}
