Samsung Galaxy F41 Diperkenalkan - sAMOLED, 64MP Kamera Dan Bateri 6000mAh

Samsung kini secara rasmi telah memperkenalkan Galaxy F41, iaitu telefon pertama di bawah siri Galaxy F.



Galaxy F41 dilengkapi skrin paparan 6.4 inci Super AMOLED dengan resolusi Full HD+. Ia didatangkan dengan bateri berkapasiti 6,000mAh, pengecasan 15W serta kabel pengecasan Type-C. Panel peranti turut mempunyai maksimum 420 nits kecerahan.

Ia dijana cip pemproses Exynos 9611 serta mempunyai RAM 6GB yang digandingkan dengan varian memori 64GB dan 128GB storan. Terdapat juga slot kad microSD untuk penambahan storan sehingga 512GB.

Samsung galaxy F41

Pada bahagian belakang, ia dimuatkan dengan sensor imbasan cap jari serta tetapan tri-kamera yang terdiri daripada 64MP utama, 8MP sudut lebar dan 5MP depth. Kamera swafoto pula dimuatkan dengan sensor 32MP.

Samsung galaxy F41

Terdapat tiga pilihan warna iaitu Fusion Green, Fusion Black dan Fusion Blue. Untuk pasaran India, ia ditawarkan pada harga 17,000 rupee (~RM963) bagi 6GB/64GB, manakala varian 6GB/128GB berharga 18,000 rupee (~RM1020).

Buat masa ini, belum diketahui jika ia akan ditawarkan untuk pasaran tempatan atau sebaliknya.

Sumber: Samsung India