Samsung Buat Untung Lebih Banyak Melalui iPhone X Berbanding Galaxy S8

Menurut laporan dari The Wall Street Journal, Samsung dianggarkan menjana keuntungan sekitar $110 (~RM465) dari setiap penjualan iPhone X. Hal ini adalah kerana skrin paparan OLED dan cip memori yang diguna pada peranti Apple tersebut dibekalkan oleh Samsung.

Lebih mengejutkan adalah, sekiranya iPhone X berjaya dijual dalam jumlah yang tinggi, keuntungan yang bakal diperoleh Samsung mampu mencecah sehingga $4 bilion dan angka itu lebih menguntungkan dari pengeluaran peranti Galaxy S8.

Analisis yang dilakukan oleh Counterpoint Technology meramalkan iPhone X bakal terjual sekitar 130 juta unit dalam masa 20 bulan selepas ia dilancarkan. Jika Samsung membuat keuntungan $110 dari setiap iPhone X itu, ini bermakna mereka bakal mendapat $14.3 bilion secara keseluruhan.

Firma itu juga turut membuat kira-kira Samsung menjana keuntungan $202 bagi setiap komponen Galaxy S8 dengan jangkaan 50 juta unit terjual dalam tempoh 20 bulan, menjadikan keuntungan keseluruhan $10.1 bilion, $4 bilion kurang dari apa yang mereka mungkin dapat dari penjualan iPhone X.

Walaupun dua gergasi ini sentiasa bersaing dalam pasaran, mereka masih memerlukan antara satu sama lain lebih dari apa yang anda boleh jangkakan. Umum sudah mengetahui bahawa Samsung adalah salah satu pengeluar utama skrin OLED dan sudah pasti ia menjadi pilihan bagi Apple yang pertama kali menggunapakai skrin paparan itu pada iPhone X.

Timbul juga berita mengenai Apple mahu mencari pembekal skrin OLED selain Samsung tetapi mereka mungkin menghadapi masalah dari segi kuantiti. Ini disebabkan tidak banyak syarikat yang mampu mengeluarkan skrin paparan itu dalam jumlah yang besar seperti Samsung dan ia boleh merencatkan penjualan iPhone X kelak.

Sumber: The Wall Street Journal