Saintis Berjaya Cipta Bateri Daripada Kulit Ketam

Penyelidik dari University of Maryland dan University of Houston telah berjaya membangunkan bateri yang diperbuat daripada bahan ditemui pada kulit haiwan krustasea seperti ketam.

Haiwan krustasea seperti ketam, udang galah, udang mengandungi sel dinamakan chitin yang membuatkan cengkerang mereka keras dan tahan lasak. Bukan itu saja, ia juga didapati pada tulang sotong, kulat dan serangga.



Kemudian daripada chitin inilah saintis mengambil satu bahan kimia iaitu chitosan. Untuk bateri ini, penyelidik membangunkan gel elektrolit yang terhasil daripada chitosan.

Dengan menggabungkan gel elektrolit chitosan bersama zink, saintis dapat menghasilkan sebuah bateri dengan tenaga yang boleh diperbaharui.


Para penyelidik mengakui mereka gusar dengan permintaan tinggi terhadap bateri kereta elektrik yang menggunakan bateri tidak mesra alam. Jadi, kejayaan ini sedikit sebanyak dapat menyumbang ke arah kelestarian alam sekitar di samping menghasilkan produk yang lebih berkualiti.

{suggest}

Bagus ke bateri kulit ketam ni?


Penyelidik mendapat ia mempunyai kecekapan tenaga sehingga 99.7% walaupun selepas 1,000 kitaran bateri, yang mana sekitar 400 jam. Ini bermakna ia dapat dinyahcas dan dicas dengan pantas tanpa prestasinya terjejas.

Selain itu, ia juga sangat mesra alam kerana ia dapat dilupuskan secara semula jadi dalam 5 bulan saja.

Bateri ini bukan saja tidak mudah terbakar, ia juga boleh menyimpan tenaga yang dijana grid solar dan angin.

Dari sudut pemeliharaan alam pula, ia dapat membantu kerana kajian pada 2015 mendapati terdapat sehingga 8 juta tan sisa buangan haiwan krustasea dihasilkan seluruh dunia. Sisa-sisa jika dimanfaatkan untuk membuat bateri, pastinya sangat berfaedah.



Pengkaji menyimpulkan bahawa 'elektrolit kulit ketam' ini bukan saja memaparkan prestasi cemerlang tetapi juga dapat dilupus ke persekitaran secara organik.

Penemuan ini penting sebenarnya kerana bahan dalam bateri lithiom-ion sekarang seperti polypropylene and polikarbonat memerlukan ratusan atau ribuan tahun untuk terurai atau lupus.

"Kelebihan elektrolit chitosan-zink ini bukan sahaja membolehkan bateri zink-logam kadar tinggi dan tahan lama tetapi juga membuka kemungkinan penggunaan biopolimer semula jadi untuk penyimpanan tenaga yang mampan dan hijau, " tulis penyelidik dalam kertas kajian itu.

Jaid, jangan terkejut jika bateri kereta elektrik kelak menggunakan kulit ketam.

Sumber: CNET, EurekAlert