Kementerian Akan Cadang Subsidi Bil Elektrik Bersasar, T20 Mungkin Perlu Bayar Lebih Selepas Ini

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata pihaknya akan mencadangkan kepada Jemaah Menteri berkenaan pelaksanaan subsidi bil elektrik secara bersasar untuk tempoh kitaran Pelepasan Kos-Kos Tidak Seimbang (ICPT) yang akan datang.
"Sekarang ini semua sama (golongan) M40 pun (menerima rebat) dua sen setiap kilowatt per jam (kWj), B40 dua sen dan T20 pun dua sen, semua menikmati rebat dua sen ini dalam bekalan elektrik negara kita. Tapi masa akan datang mungkin diperlukan bersasar, mungkin T20 akan dikenakan surcaj atau ICPT ini," katanya pada Dewan Rakyat hari ini.

Ia susulan daripada soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) mengenai langkah kementerian untuk melindungi rakyat yang berdepan dengan krisis tenaga global sehingga menyebabkan peningkatan kos harga bahan api.

Jelas menteri, pihaknya menyediakan Pelan Pembangunan Penjanaan jangka masa panjang yang menetapkan hala tuju bagi perancangan pembekalan elektrik negara.

Ia termasuklah mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api import seperti arang batu secara berperingkat dek kerana harganya yang meningkat sekarang.

Kementerian juga menetapkan sasaran 31% campuran tenaga boleh diperbaharui pada 2025, meningkat ke 40% pada 2035.

Sumber: BERNAMA