Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
Robot Buat Protes Jalanan, Tuntut Kawal Selia AI Dan Perlindungan Pekerja

Robot Buat Protes Jalanan, Tuntut Kawal Selia AI Dan Perlindungan Pekerja

Diterbitkan September 8, 2026 ยท Dikemas kini September 8, 2026 oleh ariff bukhari

Sambil mengibarkan bendera, “melaungkan” slogan, dan berarak dalam bulatan, sekitar 30 ekor robot telah turun ke jalanan di Warsaw pada Isnin bagi berkempen menuntut kawal selia AI di hadapan kementerian hal ehwal digital Poland.

Protes tersebut dianjurkan oleh Democratism, sebuah inisiatif yang menurut laman webnya bertujuan untuk memulakan perbahasan mengenai “bagaimana AI dan robotisasi memberi kesan kepada pasaran tenaga kerja”.

 

“Robot-robot yang wujud di sini bertujuan untuk menunjukkan bahawa teknologi ini sudah pun menjadi satu realiti,” kata Agibot A3, salah sebuah robot humanoid berkuasa AI, kepada AFP.

Laungan seperti, “Pertahankan tempat kerja”, “Masa untuk peraturan”, dan “Jangan tunggu, kawal selia” dimainkan menerusi pembesar suara semasa robot-robot berkenaan yang merangkumi humanoid berkaki dua hingga kuadruped menyerupai anjing, mengadakan demonstrasi.

 

“Kami terutamanya mahu membangkitkan isu potensi penggantian manusia, sama ada oleh robot humanoid mahupun oleh kecerdasan buatan dalam kerja-kerja kognitif,” kata penganjur Grzegorz Kulis kepada AFP.

“Jika kita tidak bertindak sekarang, kita mungkin berdepan masalah tidak lama lagi,” tambahnya, sambil menekankan keperluan untuk “peraturan dan kawal selia yang boleh berfungsi sebagai perisai bagi melindungi pekerja”.

Selain menarik perhatian beberapa orang awam yang lalu-lalang, Kulis berkata penggunaan robot itu bertujuan untuk menunjukkan keupayaan sedia ada mereka dan seterusnya, mendedahkan kesegeraan situasi tersebut.

 

“Robot-robot ini sudah boleh bergerak secara bebas, mereka kini sudah pun ‘membantah’,” katanya.

Perarakan robot-robot itu turut dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Digital Poland, Krzysztof Gawkowski, yang meluangkan masa bercakap dengan Kulis di lokasi kejadian.

“Model (AI) tanpa kawalan, yang diintegrasikan ke dalam humanoid yang akan terus berkembang seiring kemajuan robotisasi, merupakan satu masalah besar,” kata menteri berkenaan.

Kulis, yang kini merupakan Ketua Pegawai Maklumat (CIO) di sebuah syarikat robotik dan CEO bagi sebuah agensi pekerjaan, pernah berkhidmat selama dua penggal dalam Majlis Pasaran Buruh di Kementerian Keluarga, Buruh dan Dasar Sosial.

 

“Kami rasa bertanggungjawab untuk mula memaklumkan kepada masyarakat tentang perubahan teknologi yang pesat dan dinamik, yang secara peribadinya turut menakutkan kami,” beritahu beliau kepada AFP.

Pada bulan Julai, Presiden konservatif-nasionalis Poland, Karol Nawrocki, telah menandatangani rang undang-undang yang dikemukakan oleh kementerian berkenaan untuk melaksanakan Akta AI EU secara rasmi.

Ia mewujudkan satu pihak berkuasa kebangsaan yang berupaya menguatkuasakan peraturan EU sedia ada, yang sebelum ini telah pun berkuat kuasa secara rasmi. – AFP

Berkaitan

  • vivo X300 FE VS vivo X300 Ultra: Sama DNA ZEISS, Tapi Ini Bezanya Yang Anda Wajib Tahu Sebelum Beli
  • HONOR Lancar Telefon Robot Pertama Di Dunia, Harga Bermula ~RM6,200
  • Estonia Satu-Satunya Negara Bantah Cadangan EU Larang Kanak-Kanak Guna Media Sosial

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • Projek Pusat Data Tidak Akan Diluluskan Di Negeri Yang Kekurangan Bekalan Air - Johari Ghani
  • Siri vivo X500 Dijual Mulai 3 November, Tawar Ganjaran Lebih RM3,400
  • Straw Kertas Tidak Semestinya Lebih Mesra Alam Daripada Plastik - Kajian Penyelidik Korea Selatan
  • Scammer Dilapor Ambil Kesempatan 'Hype' Emulator PS5 Dengan Sebar Malware Kepada PC Pemain
  • China Nafi Dakwaan Jensen Huang Jadi Sasaran Pengintipan
  • Korea Selatan Rancang Dakwa Pelajar Menipu Dalam Peperiksaan Guna Cermin Mata Pintar
  • Krisis Bekalan Memori Dijangka Lebih Parah Pada 2027 - Samsung
  • Binance Digodam, AS$6.3 Bilion Aset Terjejas Dalam Kecurian Kripto Terbesar
©2026 WISER.MY