Rangkaian 5G Dijangka Meliputi 53% Seluruh Dunia Menjelang Tahun 2025

Menurut laporan analisis yang dilakukan Bankr, sebanyak 4.1 bilion penduduk di dunia akan menerima akses rangkaian 5G dalam masa empat tahun.

Ini bermakna, 53% penduduk dunia akan menerima rangkaian generasi baharu ini dimana ia menyaksikan peningkatan sebanyak 254% pada tahun 2025.

Tambah Bankr, sebanyak 15% daripada penduduk dunia sudah pun menggunakan 5G pada tahun lalu.

Dengan menyedari kemampuan 5G ini, naik taraf rangkaian 4G kian rancak dimana liputan 5G boleh dibahagikan kepada jalur sub-6GHz serta mmWave pada jalur LTE sedia ada.



Oleh itu, 5G yang menggunakan liputan 4G akan tampil dengan latensi rendah, kelajuan yang tinggi dan membenarkan aplikasi atau peranti berfungsi dengan lebih cekap.

Tambahan lagi, kemampuan yang ada pada rangkaian 5G ini secara tidak langsung akan membuka lebih banyak ruang teknologi pada masa akan datang.

Setakat ini, rantau Asia adalah peneraju dalam rangkaian 5G dan kita dapat lihat kebanyakan peranti dari China kesemuanya sudah menyokong 5G.

Manakala di Amerika Syarikat, mereka baru sahaja mengusulkan dasar baharu untuk memastikan setiap rakyatnya menerima rangkaian 5G.

Walau bagaimanapun, kos pembangunan rangkaian 5G ini agak tinggi dan kebanyakan negara serta syarikat telekomunikasi perlu mengambil sedikit masa sebelum benar-benar beralih kepada rangkaian 5G.

Dalam pada itu, SKMM juga sudah tidak memperakui peranti yang hanya menyokong 3G sehingga hujung tahun ini untuk memberikan ruang kepada peranti dengan rangkaian 4G yang seterusnya 5G dalam masa dua hingga tiga tahun lagi.

Sumber: techrepublic