PRO-NET, anak syarikat milik penuh PROTON Holdings Berhad, mengumumkan pelaburan melebihi RM40 juta bagi membangunkan infrastruktur digital tempatan serta platform kenderaan canggih menerusi siri Proton e.MAS.
Pelaburan utama ini ditumpukan kepada pembangunan platform Telematics Service Provider (TSP) yang dihoskan sepenuhnya di pusat data TM.
Langkah ini memastikan data kenderaan disimpan secara domestik bagi menyokong kedaulatan digital negara, sekali gus selari dengan Dasar Automotif Negara (NAP 2020) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Platform digital kenderaan pertama yang dibangunkan sendiri di Malaysia ini kini menyokong lebih daripada 300,000 kenderaan, termasuk kenderaan PROTON sedia ada.
Ekosistem kawalan ini merangkumi fungsi kawalan jarak jauh, sistem infotainmen pintar, dan integrasi pengecasan awam. Sehingga kini, sistem tersebut telah merekodkan lebih 8 juta permintaan kawalan jarak jauh bagi kenderaan elektrik (EV).

Selain itu, Proton e.MAS menjadi satu-satunya syarikat otomotif yang mencapai rantaian bekalan tempatan sepenuhnya untuk perkakasan sistem infotainmen serta peralatan kokpit yang dihasilkan di Malaysia.
Bagi menyesuaikan ekosistem dengan gaya hidup tempatan, perkhidmatan digital Proton e.MAS dilengkapi dengan sokongan penuh Bahasa Melayu, sistem navigasi tempatan, kompas kiblat, serta aplikasi solat TheNoor.
Melalui kerjasama dengan rakan teknologi dan telekomunikasi tempatan seperti TM, Maxis, Celcom, Altel, dan TnG Digital, platform ini telah menjana nilai tahunan melebihi RM10 juta untuk ekosistem telekomunikasi negara.
Dari segi infrastruktur pengecasan, PRO-NET turut melaburkan dana melebihi RM4 juta untuk memperkukuh kebolehaksesan pemilik EV.

Melalui fungsi Peta Pengecasan Langsung Bersepadu, pengguna kini boleh mengakses lebih 4,300 titik pengecasan di seluruh negara, yang merangkumi kira-kira 90% daripada keseluruhan liputan rangkaian pengecasan awam di Malaysia.
Setakat ini, platform pengecasan tersebut telah merekodkan sekitar 11,000 pengguna berdaftar dengan jumlah pemindahan tenaga bersih mencecah hampir 790,000 kWh.
{suggest}
