Proton e.MAS mencipta satu lagi pencapaian penting apabila muncul sebagai jenama xEV terpantas di Malaysia yang melepasi 30,000 pendaftaran, hanya dalam tempoh 20 bulan sejak pelancaran model pertamanya pada Disember 2024.
Setakat 31 Julai 2026, Proton e.MAS merekodkan 31,504 pendaftaran xEV (kenderaan berelektrik, termasuk EV dan plug-in hibrid), termasuk 30,293 unit di pasaran domestik dan 1,211 unit untuk eksport.
Menurut PRO-NET, pencapaian ini mencerminkan peningkatan penerimaan kenderaan elektrik dalam kalangan rakyat Malaysia serta membantu mempercepat pembangunan ekosistem EV tempatan.
Dari segi model, Proton e.MAS 5 kini menjadi EV paling laris di Malaysia dengan 13,279 unit didaftarkan.
Proton e.MAS 7 pula mengekalkan kedudukannya sebagai SUV EV segmen C terlaris negara dengan 12,068 unit, manakala Proton e.MAS 7 PHEV muncul sebagai model plug-in hibrid paling laris di Malaysia menerusi 4,946 unit pendaftaran.
Seiring pertumbuhan jumlah pengguna, Proton e.MAS turut memperluaskan ekosistem pemilik EV.
Ketika ini, jenama tersebut mempunyai 58 pusat pengedar, 45 pusat servis serta 10 pusat Body & Paint di seluruh negara.
Bagi memudahkan proses pengecasan, aplikasi Proton e.MAS kini menghubungkan lebih 4,700 titik pengecasan, termasuk lebih 1,500 pengecas di lebih 600 kondominium di seluruh Malaysia. Pemilik juga boleh menikmati kadar pengecasan serendah RM0.63/kWh di lokasi kediaman terpilih melalui aplikasi Proton e.MAS.
Dalam aspek pembuatan tempatan, ketiga-tiga model Proton e.MAS kini dipasang di Malaysia.
PROTON turut melaburkan RM37 juta bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunan fasiliti EV khususnya daripada 20,000 unit kepada 42,000 unit, bagi memenuhi permintaan domestik dan pasaran eksport yang terus berkembang.
{suggest}
