POCO X3 Disahkan, Bakal Hadir Dengan Kuad Kamera Belakang

Tempoh hari, imej memperlihatkan rekaan panel belakang peranti yang didakwa sebagai POCO X3 sudah berlegar-legar diiinternet. Kini, ciapan daripada Angus Kai Ho Ng, Pengurus Pemasaran Produk POCO mengesahkan kewujudan peranti tersebut.



Disertakan dengan tanda pagar #POCOX3, ciapan tersebut menunjukkan empat pilihan warna dan susun atur kamera yang berbeza. Perkongsian itu dibuat bagi memberi peluang kepada peminat untuk meneka rekaan mana yang akan dihasilkan dan pemenang bakal menerima POCO X3.

Buat masa sekarang, pengeluar belum mendedahkan sebarang spesifikasi secara terperinci tetapi apa yang pasti, ia akan hadir dengan tetapan kuad kamera belakang.

Baru-baru ini kedengaran khabar angin mengenai spesifikasi POCO X3. Ia mungkin hadir dengan cip Snapdragon 732, paparan 6.67 inci, kadar segar semula 120Hz, latensi sentuhan 240Hz, bateri 5160mAh, pengecasan pantas 33W, kamera utama 64MP serta kamera hadapan 20MP. Pelancarannya mungkin dibuat pada 8 September depan.

Sekiranya ura-ura ini benar, POCO X3 akan menjadi peranti pertama hadir dikuasakan dengan cip Snapdragon 732/732G kerana cip ini dikatakan bakal diumumkan pada bulan yang sama iaitu September.

Kini berbaki seminggu lebih sahaja lagi sebelum tarikh pelancaran seperti yang diuar-uarkan, POCO X3 disebut-sebut sebagai pencabar kepada OnePlus Nord.

Sumber: Android Authority