Perbandingan Spesifikasi MacBook Air 13" (M2), MacBook Air 15" Dan MacBook Pro 13"

Apple sudah pun mengumumkan model terbaru bagi siri komputer riba MacBook Air iaitu MacBook Air bersaiz 15 inci dengan cip M2.

Jadi sudah terdapat 2 varian untuk MacBook Air iaitu bersaiz 13 inci dan 15 inci. Tetapi pada masa yang sama Apple juga masih menawarkan model MacBook Pro 13 inci juga dengan cip M2.

Ketiga-tiga model ini pula dijual pada harga yang lebih kurang sama iaitu antara RM5 ribu sehingga RM6 ribu. Jadi yang manakah patut anda pilih antara 3 MacBook ini?

Kapsyen: Hanya komputer riba Apple MacBook Pro 13 inci (M2) sahaja yang masih dilengkapi dengan panel Touch Bar.

Paparan


Untuk perbandingan, yang paling ketara antara 3 model MacBook ini sudah tentulah MacBook Air 15 inci kerana ia dilengkapi skrin yang paling besar iaitu 15.3 inci.

Sementara MacBook Air 13 (M2) pula dilengkapi skrin bersaiz 13.6 inci dan MacBook Pro 13 (M2) dengan skrin 13.3 inci.

Selain itu, terdapat perbezaan jenis skrin yang digunakan pada MacBook Air dan MacBook Pro 13.

MacBook Air menggunakan paparan Liquid Retina manakala Macbook Pro 13 pula menggunakan Retina.

Perbezaan antara Liquid Retina dan Retina adalah teknologi disebaliknya.

Liquid Retina adalah apa yang Apple panggil untuk paparan yang dibina di atas teknologi LCD.

Nama Liquid Retina hanya merujuk kepada mana-mana produk Apple dengan skrin LCD yang mempunyai ketumpatan piksel yang tinggi.

Sementara paparan Retina pula dibuat menggunakan teknologi LED terdahulu.


M2


Dari aspek kuasa pemprosesan pula, 3 model ini menggunakan cip Apple M2 yang sama serta menyokong kapasiti RAM maksimum 24GB dan storan sehingga 2TB.

Jadi berkemungkinan dari aspek prestasi kuasa pemprosesan, tiada perbezaan antara 3 model Apple MacBook ini.

Berat


Sebenarnya semua model komputer riba Apple MacBook adalah ringan walaupun belum sampai kategori ultra ringan.

Tiada beza yang ketara antara berat MacBook Air 13, 15 dan MacBook Pro 13. Tetapi jika anda tertanya-tanya perbezaannya, anda boleh lihat rajah di bawah.


Audio


MacBook Air miliki kelebihan dari aspek kualiti audio berbanding MacBook Pro 13  kerana MacBook Air 13 inci dilengkapi 4  pembesar audio dan model 15 incinya dengan 6 pembesar audio.

Pengecas dan Bateri


Tetapi dari aspek keupayaan bateri pula, MacBook Pro 13 punyai kelebihan di mana ia lebih tahan lama di mana ia mampu beroperasi sehingga 20 jam.

Malah MacBook Pro 13 juga didatangkan dengan pengecas yang lebih berkuasa iaitu 67W.

MacBook Air 13 dan 15 pula hanya mampu bertahan sehingga 18 jam sahaja dan didatangkan dengan pengecas kuasa yang lebih rendah iaitu 30W dan 35W sahaja.

Tetapi perlu diingat, MacBook Air 13 dan 15 menggunakan sambungan MagSafe 3 yang inovatif untuk pengecasan.

Sebaliknya MacBook Pro 13 masih menggunakan sambungan USB-C.

Kapsyen: MagSafe 3 lebih selamat untuk MacBook sebab sambungan magnetiknya yang memudahkan ia tercabut jika ada yang tertempuh kabel pengecas.

Pendapat peribadi


Jadi daripada perbandingan spesifikasi itu, model MacBook yang manakah patut anda pilih sebenarnya?

Secara peribadi, penulis sudah tentulah akan memilih model MacBook Air 15 inci yang terbaru berharga dari RM6,199, kerana saiz skrinnya yang lebih besar dan puas untuk dilihat.

Malah ia juga masih ringan dan nipis yang mudah untuk dibawa bersama.

 

 

Tetapi memandangkan bajet yang terhad, pilihan terbaik penulis adalah model MacBook Air 13 inci kerana ia hanya berharga dari RM5,199.

Kapsyen: Tambahan pula, warna Midnight menjadi idaman penulis.


Tetapi jika anda lebih banyak menggunakan perisian berat seperti aplikasi grafik dan suntingan video, MacBook Pro 13 mungkin lebih sesuai untuk anda.

Ini kerana MacBook Pro 13 dilengkapi dengan kipas untuk sistem penyejukkannya.

Untuk perbandingan sepsifikasi perkakasan yang lebih jelas antara MacBook Air 13 inci (M2), MacBook Air 15 inci (M2) dan MacBook Pro 13 inci (M2), layari laman rasmi Apple Malaysia.

{suggest}