Di pertengahan 2020, realme telah selamat melancarkan realme 6 Pro, tapi realme 7 Pro pula lahir pada 24 September 2020 secara rasmi di Malaysia. Oleh disebabkan kedua-dua peranti ini mempunyai speksifikasi yang hampir sama, kami mengambil keputusan untuk membuat perbandingan. Jadi peranti yang mana satu lagi pro?
REKA BENTUK
Dari segi rekaan panel belakang, terdapat perbezaan yang ketara dapat dilihat. realme 7 Pro menggunakan rekaan yang baru dengan susunan kamera modul yang baharu serta kemasan matte.
realme 6 Pro pula mempunyai logo seakan-akan petir di panel belakangnya dengan kemasan licin.
Di bahagian kiri kedua-dua peranti ini terdapat butang kuasa. Akan tetapi butang kuasa Realme 6 Pro merangkumi pengimbas cap jari.
Di bahagian bawah pula terdapat bicu audio 3.5mm, slot pengecasan dan pembesar suara jenis mono. Butang aras suara pula terletak dibahagian kiri.
Paparan
Kedua-dua peranti ini menggunakan paparan beresolusi Full HD+. Yang membezakannya adalah jenis paparan dan saiz skrin.
realme 6 Pro menggunakan paparan jenis IPS LCD dengan saiz skrin 6.6 inci. Namun realme 7 Pro pula mempunyai kelebihan kerana menggunakan paparan jenis super AMOLED dengan saiz skrin 6.4 inci.
Dari segi kualiti paparan, realme 7 Pro mempunyai kecerahan lebih terang. Ini mempunyai impak agak besar terutamanya jika dilihat bawah cahaya matahari yang terang. Akan tetapi, realme 6 Pro juga boleh dikatakan agak baik cuma mungkin dibawah pencahayaan yang tinggi agak “kureng”.
Satu kredit boleh diberikan kepada realme 6 Pro kerana menggunakan skrin dengan kadar segar semula 90Hz di mana “Adik barunya” hanya didatangkan dengan 60Hz.
Di hujung kiri kedua-dua peranti ini, terletaknya kamera swafoto jenis berlubang. Akan tetapi realme 6 Pro dimuatkan dwi-lensa hadapan manakala realme 7 Pro hanya ada satu lensa sahaja.
PERISIAN
Kedua-dua peranti ini menjalankan android 10 dengan antaramuka realme.
Sistem operasi yang digunakan kedua-dua peranti ini kaya dengan fungsi-fungsi menarik seperti tema gelap, perisian pembantu permainan, pilihan untuk navigasi gestur dan juga lain-lain.
BATERI
Bateri pada realme 6 Pro adalah berkapasiti 4300mAh manakala realme 7 Pro pula dimuatkan dengan bateri dengan kapasiti 4500mAh.
Perbezaan besar antara kedua-dua peranti adalah dari segi masa pengecasan. realme 6 Pro mengambil masa 57 minit untuk penuh dari 0% hingga 100% dengan bantuan pengecasan pantas 30W.
realme 7 Pro pula hanya mengambil masa 34 minit sahaja masa pengecasan dari 0% ke 100% dengan sokongan pengecasan pantas 65W.
Untuk prestasi bateri pula, kedua-dua peranti dapat bertahan sehari masa penggunaan.
PRESTASI
Kedua-dua peranti ini menggunakan cip pemprosesan yang sama iaitu Snapdragon 720G dengan Andreno 618. Untuk penggunaan harian, kedua-dua peranti dapat memberikan prestasi yang cukup baik.
Dari segi gaming, kedua-dua peranti dapat memberikan prestasi yang cukup baik tanpa lag sewaktu bermain applikasi permainan.
KAMERA
Untuk speksifikasi kamera, Realme 6 Pro didatangkan dengan quad kamera iaitu 64MP(kamera utama)+12MP(telephoto)+8MP(Ultra-lebar)+2MP(Depth). Untuk kamera selfie pula adalah 16MP(wide)+8MP(Ultra-lebar).
Untuk Realme 7 Pro pula, ia didatangkan juga dengan quad kamera dengan konfigurasi 64MP(kamera utama)+8MP(Ultra-lebar)+2MP(Macro)+2MP(Depth). Bagi kamera selfie, ia dilengkapi dengan satu kamera iaitu 32MP(Wide).
Yang membezakan kedua-dua peranti ini adalah sensor yang digunakan. Di sini kami sertakan beberapa keping gambar untuk kedua-dua peranti ini [kiri-realme 6 pro;kanan-realme7 pro] :
1. Mod Potrait




2. Mod Kamera Utama






3. Mod Ultra-Lebar


4. Mod Selfie


5. Mod Malam


6. Mod 64MP


Untuk prestasi kamera, kedua-dua peranti dapat menghasilkan gambar yang cantik dan menarik. Adapun perbezaan adalah pada mod 64MP di mana realme 7 Pro memberikan penghasilan yang lebih jelas berbanding realme 6 Pro.
RUMUSAN
Jika anda adalah seorang pengguna realme 6 Pro, maka realme 7 Pro bukan pilihan peranti yang terbaik untuk anda tukar ke peranti baharu. Hal ini kerana tiada perbezaan yang major untuk peranti baru ini.
Tetapi jika anda pengguna realme 3 Pro atau 5 Pro, mungkin realme 7 Pro adalah pilihan yang bijak.
Secara keseluruhan, anda tidaklah hilang banyak fungsi dan ciri jika membeli realme 6 Pro yang sedikit lebih murah. Namun, jika anda peminat skrin AMOLED, anda patut memilih realme 7 Pro.