Akhirnya, pengumuman yang paling dinanti-nantikan pemilik lesen motosikal B2 iaitu naik taraf kepada lesen B atau lebih dikenali umum sebagai ‘B Full’ tanpa perlu lagi mendaftar lain untukĀ kursus lesen motosikal kelas B itu diumumkan.
Menerusi kenyataan rasmi oleh Menteri Pengangkutan hari ini, cadangan tersebut telah dimuktamadkan dan diluluskan.
Walau bagaimanapun, ia tidaklah semudah disangka yang mana mungkin ramai beranggapan ia akan diberikan secara automatik kepada pemilik lesen B2.
Sebaliknya untuk peralihan itu, terdapat pelaksanaan program khas yang perlu diteliti dan difahami.
Berikut adalah perincian program khas peralihan yang akan diperkenalkan kepada pemegang LMM kelas B1 dan B2 untuk beralih dan mendapatkan LMM kelas B.
- Individu telah memegang LMM kelas B1 atau B2 secara aktif untuk tempoh berterusan minima 10 tahun. Syarat ini bagi memastikan tahap kompetensi dan pengalaman pemanduan kenderaan motosikal bagi mana-mana individu sebelum beralih kepada motosikal berkuasa besar;
- Pemohon hendaklah bebas daripada sebarang senarai hitam, tunggakan saman, sekatan urus niaga, rekod sabitan kesalahan berat atau sebarang perkara belum selesai di bawah Akta 333;
- Pengesahan sihat tubuh badan/fizikal/minda secara deklarasi kendiri oleh individu;
- Menghadiri dan lulus program peralihan dan penyesuaian ke kenderaan motosikal berkuasa 500cc ke atas di Institut Memandu (IM) melibatkan program amali penunggangan, informasi pemanduan/pengoperasian motosikal berkuasa besar untuk tempoh 2 jam; dan
- Pengesahan tahap keupayaan mengendalikan motosikal berkuasa besar oleh Qualified Training Officer (QTO) di IM. Pengesahan ini amat penting bagi memastikan tahap kompetensi dan keupayaan seseorang mengendalikan motosikal berkuasa besar demi meningkatkan tahap keselamatan pemanduan individu tersebut.
Bagi tujuan menjalani program khas peralihan ini, caj perkhidmatan yang hanya berjumlah RM160 akan dikenakan kepada mana-mana calon bagi menampung kos operasi yang terlibat di IM.
Pada masa ini, pihak JPJ sedang di fasa akhir persiapan bagi memperkenalkan program peralihan berkenaan, termasuk melaksanakan semua perubahan sistem dan penyelerasan dengan pihak IM.
Permohonan bagi menjalani program peralihan dijangka dibuka kepada umum mulai 1 Oktober 2024.
Seiring dengan pengumuman hari ini, Menteri Pengangkutan turut memaklumkan, mulai 1 Oktober 2024, tiada lagi program mendapatkan LMM kelas B1 di IM akan dibuka kepada orang ramai.
Program tersebut dimansuhkan kerana permintaan pengguna bagi mendapatkan LMM kelas B1 adalah terlalu rendah pada setiap tahun kerana orang ramai akan terus memilih mendapatkan kelas B sahaja.
Bermakna, pemegang lesen B1 sedia ada, mereka akan kekal di kategori berkenaan atau menjalani program khas di atas bagi mendapatkan kelas B.
Maka, dengan mendapatkan LMM Motosikal kelas B, individu layak memandu semua kelas kuasa-cc motosikal, dan tidak terhad kepada motosikal berkuasa 499cc ke bawah sahaja bagi kelas B1.
{suggest}
Sumber: Siaran media Kementerian Pengangkutan Malaysia