Pengguna Android Kini Boleh 'Mix & Match' Emoji Dengan Gboard

Melalui kemaskini terbaru dari Gboard hari ini, pengguna Android diperkenalkan dengan satu ciri baru, Emoji Kitchen. Ia membolehkan pengguna menggabungkan dua emoji sedia ada yang berbeza, kemudian menggunakannya sebagai pelekat.

Emoji Kitchen Gboard

Sebagai contoh, anda boleh menambah cermin mata kepada pelbagai emoji smiley, campurkan emoji topi koboi dan hantu, emoji monyet dengan kaktus dan lain-lain. Walau bagaimanapun, anda tidak boleh menggabungkan beribu emoji ini dengan mana-mana sahaja. Ini bermakna, ia hanya berfungsi dengan sokongan Google sahaja di mana variasi utama adalah smiley.

Untuk menggunakannya, anda perlu memilih mana-mana emoji smiley dan Emoji Kitchen ini akan menunjukkan gabungan yang tersedia untuk anda.

Menurut Google, Emoji Kitchen sudah mula dilancarkan melalui kemaskini yang boleh dibuat di Play Store. Buat masa ini, ia hanya tersedia bagi pengguna Android. Namun, bagi pengguna lain, anda boleh menyertai program Gboard Beta untuk mendapatkan Emoji Kitchen.

Sebaik anda menerima ciri baru ini, ia boleh digunakan dalam aplikasi seperti Gmail, Messenger, Snapchat, Telegram, WhatsApp dan lain-lain.

Sumber: Google Blog