Ogos tahun lalu, Xiaomi membuat kejutan dengan menghidupkan kembali tablet mereka menerusi Xiaomi Pad 5 dan Xiaomi Pad 5 Pro. Selang sebulan, Xiaomi Pad 5 pun dibawa masuk buat pasaran Malaysia.
Semasa Xiaomi melancarkannya, memang ramai yang teruja kerana tablet mereka tampil dengan spesifikasi cemerlang tetapi pada masa sama harga mampu milik. Malah, selepas Xiaomi Pad 5 dilancarkan, pasaran tablet Android semakin rancak. Contohnya pelancaran realme Pad, Nokia T20 dan vivo serta OPPO juga mahu menawarkannya nanti.
Kebetulan saya sedang mencari sebuah tablet untuk kegunaan hiburan, saya pun terfikir untuk memiliki Xiaomi Pad 5. Dalam diam, sudah hampir 5 bulan saya menggunakan tablet tersebut.
Memang berat untuk saya membeli Xiaomi Pad 5 ini memandangkan saya seorang pengguna Apple. Saya mempunyai sebuah iPhone, Apple Watch dan juga MacBook. Hati ini menginginkan iPad Mini Gen 6 tetapi poket pula tidak mengizinkan. Jadi, akhirnya saya memilih Xiaomi Pad 5.
Sebelum saya memulakan hujah terhadap Xiaomi Pad 5, saya ingin menegaskan kepada anda bahawa ini bukanlah ulasan. Sebaliknya hanyalah pendapat jujur tentangnya. Jika anda mahukan ulasan, saudara Meor sudah membuatnya di saluran YouTube kami.
Tablet Murah Tapi Nampak Premium
Masa mula-mula saya menggunakan Xiaomi Pad 5, ramai juga yang sangka bahawa tablet pada tangan saya ialah iPad. Namun, saya jawab sapaan mereka itu dengan mengatakan ini “iPad China”. Yalah, Xiaomi Pad 5 saya ini dipasang dengan kerangka pelindung yang seakan-akan iPad. Sekilas pandang apabila diletakkan di atas meja, memang ada aura iPad.
Memang benar, rekaan pada Xiaomi Pad 5 ini sememangnya cantik walaupun panel belakangnya daripada plastik. Dari segi binaan dan saiz memang cukup sedap untuk dipegang. Bagi saya, sesuailah dengan harganya. Kalau nak dibandingkan dengan iPad Gen 9, rupa Xiaomi Pad 5 ini jauh lebih updated.
Prestasi Cemerlang
Sepanjang saya menggunakan Xiaomi Pad 5, jarang sekali saya menghadapi masalah. Cuma pada awal-awal dahulu sahaja ada sedikit kekurangan dan saya mendapati ia masalah yang datang disebabkan MIUI 12.5. Sebagai contoh, pepijat dan bateri berkurang walaupun tidak menggunakannya langsung. Akan tetapi, setakat ini masalah itu saya tidak alami lagi.
Prestasi memang seperti yang dijangkakan. Tablet ini lengkap dengan Snapdragon 860 yang semua sedia maklum, ia sebuah cip pemproses andalan daripada Qualcomm.
Nak lancar aplikasi? Nak main game? Sebut sahaja, tablet ini boleh melakukannya. Yang paling penting, cip itu tidak mendatangkan masalah suhu seperti mana abangnya Snapdragon 888.
Lebih menarik, storan yang digunakan Xiaomi Pad 5 ini adalah jenis UFS 3.1. Kalau anda pengguna tegar Android, anda pun sudah tahu kebanyakan telefon pada tanda harga sebegini didatangkan storan UFS 2.1 atau UFS 2.2 sahaja.
Kelebihan storan UFS 3.1 ini semestinya kelajuan membaca (read) dan menulis (write). Saya boleh katakan, setiap kali saya mahu memasang aplikasi, ia memang laju.
Dari segi pengalaman gaming, Xiaomi Pad 5 ini memang puas kerana skrinnya cukup luas. Tapi secara jujurnya, saya jarang bermain game pada tablet ini kerana saya bukanlah mobile gamer. Cuma kalau anda gamer tegar untuk peranti telefon, pasti anda sukakannya.
Terkejut, Layan ‘Movie’ Memang Puas
Jujur saya ingin menegaskan di sini yang mana saya membeli Xiaomi Pad 5 ini semata-mata untuk kegunaan hiburan. Nak layan Netflix guna telefon, tidak cukup besar dan puas.
Tapi sejak ada Xiaomi Pad 5 ni, siri Netflix atau Disney+ Hotstar banyak dihabiskan menggunakan tablet. Secara peribadi, saya memuji paparan yang terdapat pada tablet Xiaomi ini.
Walaupun hanya menggunakan panel IPS, warna yang dihasilkan memang memberangsangkan. Ditambah lagi skrin beresolusi 2K, menyokong Dolby Vision, nikmat apa lagi yang saya boleh dustakan?
Xiaomi Pad 5 ini memang diperakui Netflix atau bahasa lainnya Netflix Certified. Jadi, mana-mana siri drama atau filem yang menyokong Dolby Vision, anda boleh nikmatinya. Sebab itu juga, aplikasi Netflix sudah dipasang siap-siap ke dalam peranti.
Selain itu, keasyikan menonton filem atau drama diserikan lagi dengan 4 pembesar suaranya. Ia juga disokong Dolby Atmos. Memang terasa perbezaan apabila saya strim menggunakan iPhone dan Xiaomi Pad 5 kerana audio daripada Xiaomi Pad 5 lebih seimbang terutama bunyi stereo. Tak ada berat sebelah seperti mana yang saya alami di iPhone sebab satu bunyi audio dari peranti ini datang daripada earpiece.
Apa yang saya boleh sampaikan di sini adalah pengalaman menonton filem, drama atau YouTube memang mengasyikkan. Sebelum terlupa, Xiaomi Pad 5 turut menyokong kadar segar semula 120Hz. Best memang best tetapi kadangkala saya ada juga terasa stuttering di beberapa tempat.
Perjalanan Xiaomi Pad 5 Masih Jauh
Kalau bercakap tentang tablet Android di pasaran Malaysia mahupun global, tidak banyak lagi ditawarkan. Sebelum ini dan sehingga kini pun, Samsung sahaja yang benar-benar mencabar dominasi Apple.
Saya memang suka dengan keterbukaan sistem operasi Android. Seperti sideloading, benda ini tidak ada pada iPad. Lebih indah kalau Apple sekurang-kurangnya memberikan kebebasan buat pengguna iPad.
Tambahan lagi, spesifikasi yang ada pada Xiaomi Pad 5 tidak cukup memberikan impak yang besar kalau banyak aplikasi yang tidak dioptimumkan untuknya.
Ini kerana kalau pada iPad, banyak aplikasi yang dibangunkan khusus untuknya. Sebagai contoh, “Twitter for iPad”. Bagi Xiaomi Pad 5, aplikasi Twitter ibarat aplikasi telefon yang dipaparkan pada skrin lebih besar sahaja. Belum lagi bercerita tentang aplikasi-aplikasi khas untuk Apple seperti Procreate dan sebagainya.
Xiaomi Smart Pen pun bukanlah terbaik jika nak dibandingkan dengan Samsung punya. Apa lagi Apple Pencil. Dari segi produktiviti, saya berasakan banyak perkara yang perlu ditambah baik oleh Xiaomi jika mereka benar-benar serius dalam tablet.
Minggu lepas, Samsung pun dah melancarkan barisan tablet mereka dan Galaxy Tab S8 Ultra memang meletakkan Xiaomi Pad 5 ini jauh di belakang. Ditambah lagi dengan LumaFusion akan ditawarkan buat tablet Samsung terlebih dahulu.
Untuk saya, memang tidak menjadi masalah pun kerana saya bukan jadikan tablet sebagai peranti bagi kegunaan produktiviti. Perkara ini mungkin akan memberikan masalah bagi anda yang mahu gantikan komputer riba dengan tablet.
Namun, Xiaomi dilihat seperti tidak mengabaikan tablet mereka. Lebih-lebih lagi apabila MIUI 13 Pad juga diumumkan. Bahkan, Xiaomi Pad 5 pun antara peranti Xiaomi terawal yang menerima kemas kini MIUI 13.
Xiaomi Pad 5 Bukan Untuk Semua
Seperti yang saya nyatakan tadi, Xiaomi Pad 5 mungkin kurang sesuai bagi anda yang mahu menggunakannya seperti komputer riba. Pengalaman produktiviti belum cukup setanding seperti tablet Samsung atau iPad.
Bagaimanapun, kalau anda seperti saya, guna tablet semata-mata untuk hiburan, rasanya tidak ada masalah. Saya juga berani katakan ia adalah tablet Android berkuasa dan mampu milik setakat ini.
Harga yang bermula RM1399 meletakkan Xiaomi Pad 5 adalah yang terbaik jika nak dibandingkan pesaing terdekatnya seperti realme Pad atau Nokia T20.
Namun, kalau anda yang mencari tablet untuk kegunaan kerja sahaja, iPad Gen 9 mungkin sesuai untuk anda kerana ia tablet Apple yang paling mampu milik.
Apa-apa pun, ini hanyalah pendapat tentang pengalaman saya menggunakan Xiaomi Pad 5 sepanjang lima bulan. Saya juga kini sedang menunggu kemas kini MIUI 13 untuk tablet ini.
Baca juga: