Semasa acara Galaxy Unpacked sebentar tadi, Samsung memperkenalkan barisan tablet terbaharu mereka, iaitu Tab S8, Tab S8+ dan Tab S8 Ultra.
Bagi yang sudah terfikir nak bermain permainan mudah alih di tablet ini kerana mahu mencuba kuasa grafik AMD, anda tidak dapat berbuat demikian. Hal ini kerana barisan tablet yang dibawa masuk buat pasaran tempatan hanya menggunakan Snapdragon 8 Gen 1.
Galaxy Tab S8
Untuk Galaxy Tab S8, ia merupakan adik kecil dalam keluarga siri ini. Tablet ini menampilkan skrin seluas 11 inci beresolusi 2560×1600 (WQXGA) panel LTPS TFT dengan sokongan kadar segar semula 120Hz.
Bersama-sama paparan hadapan ini juga, terletaknya sebuah kamera sebesar 12MP sudut ultra lebar. Manakala kamera belakang pula hadir dengan 13MP utama dan 6MP ultra lebar.
Selain itu, Galaxy Tab S8 turut didatangkan memori sehingga 12GB RAM dan storan dalaman 128GB atau 256GB dengan sokongan slot mikroSD sehingga 1TB serta bateri berkapasiti 8000mAh yang menyokong pengecasan pantas 45W.
Antara lainnya adalah 4 pembesar suara yang ditala AKG serta Dolby Atmos, 3 mikrofon terbina, rangkaian 5G, imbasan cap jari di sisi, menjalankan Android 12 dan didalam kotak disertakan aksesori S Pen, kerangka pelindung peranti (casing) dan lain-lain.
Tiga pilihan warna diberikan, iaitu Graphite, Silver dan Pink Gold. Harga jualan pula ialah RM3299 (128GB).
Galaxy Tab S8+
Galaxy Tab S8+ adalah model yang sedikit berkuasa berbanding Tab S8. Spesifikasinya pun hampir kesemuanya sama dengan adiknya.
Namun, tablet ini hadir dengan skrin 12.4 inci beresolusi 2800×1752 (WQXGA+) panel Super AMOLED dan kadar segar semula 120Hz.
Dilengkapi memori 8/12GB RAM, storan dalaman sehingga 256GB dengan sokongan kad mikroSD sehingga 1TB, bateri sebesar 10090mAh dan pengecasan pantas 45W.
12MP lensa hadapan diberikan bersama-sama 2 lagi lensa belakang, iaitu 13MP utama dan 6MP ultra lebar. Sedikit perbezaan, tablet ini mempunyai sokongan imbasan cap jari pada skrin, tidak seperti Galaxy Tab S8.
Itu sahaja, lain-lain spesifikasi masih lagi sama dengan model yang paling rendah. Dari segi harga, ia dijual pada harga RM4599 (256GB).
Galaxy Tab S8 Ultra
Model ini adalah abang besar dalam barisan tablet Galaxy baharu ini. Besar bukan sebarang besar, Galaxy Tab S8 Ultra membuatkan anda seperti mengusung sebuah komputer riba. Malah, keyboard cover yang dipersembahkan Samsung turut dikatakan bakal memberikan pengalaman sepertimana komputer riba.
Hal ini kerana paparan Tab S8 Ultra adalah seluas 14.6 inci beresolusi 2960×1848 (WQXGA+) dengan panel Super AMOLED dan menyokong kadar segar semula 120Hz.
Dari segi kamera, terdapat 13MP utama dan 6MP ultra lebar pada bahagian belakang. Sementara di hadapan, terdapatnya takuk yang telah lama diperbualkan itu menempatkan dwi-lensa hadapan. Ia terdiri daripada 12MP utama dan 12MP ultra lebar.
Selain sokongan kad mikroSD sehingga 1TB, Galaxy Tab S8 Ultra turut hadir varian storan sehingga 512GB bersama-sama pilihan memori sehingga 16GB RAM. Bateri juga dimuatkan sebesar 11200mAh dengan kelajuan mengecas 45W.
Lain-lain spesifikasi, sama sahaja dengan Tab S8+ seperti 4 pembesar suara yang ditala AKG, imbasan cap jari pada skrin, menjalankan Android 12, rangkaian 5G dan banyak lagi.
Hanya ada satu sahaja pilihan warna ditawarkan, iaitu Graphite. Dengan tanda harga RM5899 (256GB), Galaxy Tab S8 Ultra sekaligus menjadi model yang paling premium. Mungkinkah juga tablet ini akan menjadi penanda aras baharu bagi sesebuah tablet Android? Sama-sama kita nantikan.
Bagi anda yang berminat, laman rasmi Samsung Malaysia sudah buka pra-tempahan buat peminat tempatan. Ada juga tawaran menarik seperti hadiah percuma termasuk rebat untuk tukar ganti (trade-in) peranti lama.
Baca juga:
-
Samsung Galaxy S22 Dan S22+ Bermula RM3,499 – Kamera 50MP Dan Snapdragon 8 Gen 1
-
Samsung Galaxy S22 Ultra Bermula RM5,099 – 6.8″ AMOLED QHD, Kamera 108MP, S-Pen Terbina
- Peranti Terbaharu Samsung Akan Ada Kemas Kini Android Selama 4 Tahun