Guna Pocophone F1 Hampir 4 Tahun - Makin Syok Dengan Android 12

Pocophone F1 kini sudah berusia hampir 4 tahun. Sebelum ini saya ada menulis ulasan mengenai pengalaman telefon ini. Dalam artikel tersebut, saya telah menceritakan bahawa saya telah menggunakan custom rom dari Pixel Experience yang mana ia mempunyai antara muka yang sama seperti Google Pixel.

Selepas pelancaran Android 12, pembangun Pixel Experience cuba untuk melepaskan edisi Android 12 pula untuk Pocophone F1 ini. Jadi kepada pengguna Pocophone F1 yang sedang menggunakan custom rom Pixel Experience 11, anda boleh cuba untuk menaiktaraf ke Pixel Experience 12. Cumanya ia masih lagi dalam fasa beta.



Berita baiknya, sepanjang penggunaan saya  buat masa ini, tiada sebarang pepijat yang dijumpai.

Ada banyak beza ke dengan Android 12 dekat Google Pixel?


Mungkin ada yang tertanya-tanya, adakah antara muka yang digunakan pada Pixel Experience 12 ini sama dengan Android 12 Google Pixel? Jawapanya ya, sama. saya tanya sendiri rakan saya yang merupakan pengguna Pixel 4a yang mana telefon tersebut sudah pun menerima Android 12. Setelah membandingkan antara Android 12 Google Pixel dengan Pixel Experience 12, jawapannya adalah rupa antara muka kedua-duanya sama sahaja.

Untuk widget baharu yang disertakan pada Android 12, pun juga boleh digunakan pada Pocophone F1 ini.

Selain itu, latar hias asal baharu juga disertakan pada kemaskini kali ini. Saya boleh memilih banyak latar hias daripada pelbagai kategori seperti Landscapes, Google Art & Culture, Earth, Citycscapes, Art dan banyak lagi.



Bercakap tentang latar hias, saya juga boleh menetapkan tema mengikut warna latar hias yang saya gunakan. Kerana daripada pemilihan latar hias ini, saya diberikan 3 pilihan warna tema yang saya boleh pilih mengikut kesesuaian cita rasa saya. Tema ikon juga boleh dihidupkan. Fungsi ini membuatkan ikon setiap aplikasi ditukarkan mengikut warna tema. Namun ia masih dilabelkan sebagai beta.

Saya juga mendapati bahawa, Pixel Experience menyertakan animasi seperti gelombang bergerak ketika nyahkunci dan mengecas peranti ini.

Antara muka untuk Quick Setting juga diperbaharui. Kali ini ia nampak lebih kemas kerana setiap daripada ikon ini mempunyai nama pada tetapan ikon tersebut.


Mahu Cuba Sendiri Custom ROM?


Saya rasa mesti ada dalam kalangan pembaca yang masih menggunakan  atau pernah menggunakan Pocophone F1. Saya menjangkakan bahawa ada juga dalam kalangan anda yang mungkin hendak mencuba gunakan custom rom ini. Jadi disini saya sertakan satu video daripada Munchy yang menunjukkan langkah bagaimana untuk anda masukkan custom rom pada Pocophone F1.

https://www.youtube.com/watch?v=YrSxkjVq2g8

Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa anda perlu menanggung risiko sendiri ketika melakukan proses ini. Jadi kami tidak akan bertanggungjawab jika telefon anda tidak dapat dihidupkan selepas anda memasang custom rom ini.

Jika anda sanggup menanggung risiko tersebut anda boleh teruskan. Pastikan anda fahamkan video tersebut terlebih dahulu sebelum anda mulakan proses pemasangan custom rom ini.

Anda juga boleh baca artikel yang kami pernah tulis mengenai custom rom dengan klik pada pautan ini.

Kesimpulan


Saya kagum dengan Pocophone F1 ini sebenarnya kerana telefon ini pernah menjadi lagenda yang terkenal serta fenomena sebagai telefon flagship killer kerana mempunyai spesifikasi andalan tetapi dijual dengan harga yang murah.

Walaupun dengan harga yang murah, ia mampu memberikan prestasi yang baik hampir dari semua segi untuk telefon yang dikeluarkan pada tahun 2018. Dan dengan adanya custom rom ini, saya boleh terus menikmati fungsi kemas kini terbaharu tanpa had kemas kini rasmi daripada Xiaomi.

Baca juga: