iPad 9 Gen merupakan peranti paling mampu milik dalam siri iPad. Namun dalam lingkungan harga tersebut, adakah pengalaman guna tablet ini setanding dengan harganya?
Oleh itu, saya disini ingin berkongsi pengalaman saya menggunakan iPad Gen 9 ini selama sebulan.
Spesifikasi
Sebelum saya cerita dengan lebih mendalam, mari kita lihat spesifikasi ringkas iPad Gen 9 ini terlebih dahulu.
- Skrin: 10.2 inci Retina Display True Tone, 500 nits
- Cipset: Apple A13 Bionic
- Kamera: 8MP f/2.4 utama, 12MP f/2.4 ultra lebar FaceTime HD Camera
- Bateri: 32.4W (Lightning)
- Sensor: Touch ID
- Sokongan: Apple Pencil Gen 1, Smart Keyboard
- Varian: WiFi/Wifi+ Cellular, 64GB/256GB
Fungsi yang tiada pada tablet lain
Jika bersembang tentang tablet, perkara pertama yang kita akan perasan semestinya adalah saiz skrin. Bagi saya sendiri pun, kerana saya tidak pernah menggunakan peranti dengan saiz besar, saya dapat merasakan satu kepuasan yang saya tidak dapat rasakan apabila menggunakan telefon pintar.
Lebih-lebih lagi apabila saya melayan Netflix, YouTube, baca buku, manga, imej dan tulisan yang saya lihat pada iPad ini lebih jelas daripada yang saya dapat pada telefon pintar saya.
Selain gunakan untuk menonton filem, saya juga ada menggunakan iPad ini untuk panggilan video. Apa yang saya boleh puji untuk iPad Gen 9 ini adalah fungsi baharu yang dibawa masuk iaitu Centre Stage.
Fungsi Centre Stage ini berfungsi dengan mengecam kedudukan wajah untuk dipamerkan pada skrin. Senang kata, skrin akan memfokuskan kepada muka kita apabila bergerak ke kanan atau ke kiri. Begitu juga jika ada 2 orang atau lebih, iPad ini akan lakukan digital crop untuk memuatkan muka-muka tersebut dalam skrin.
Perkara ini tidak mustahil kerana lensa pada iPad Gen 9 ini adalah 12MP ultra lebar kamera hadapan. Jadi apabila kita melihat muka kita apabila mod Centre Stage diaktifkan, itu bermaksud anda melihat hasil daripada digital crop ini.
iPad Gen 9 ini juga menyokong Smart Keyboard kerana Pogo Pin yang terdapat pada tablet ini. Dengan harga bermula RM1499, fungsi Pogo Pin ini adalah salah satu kelebihan pada tablet ini kerana iPad mini pun takda Pogo Pin walaupun harganya lebih tinggi.
Dengan harga RM649, anda boleh mendapatkan Smart Keyboad yang akan memudahkan anda untuk menaip menggunakan iPad ini. Pengalaman saya menggunakan Smart Keyboard ini juga memang memudahkan kerana saya saya boleh menaip dimana-mana kerana saiz iPad yang mudah untuk dibawa berbanding dengan komputer riba biasa.
Tapi anda rasa bateri iPad ini boleh tahan berapa lama? Mengikut cara penggunaan saya, bateri iPad Gen 9 ini mampu bertahan sehingga 2 hari penggunaan. Sepanjang tempoh itu, tidak pernah lagi saya perlu mengecas tablet ini pada hari yang sama selepas dicas penuh.
Kekurangan…
Dari tadi, saya hanya bercerita tentang kebaikan sahaja. Tiada keburukan? Mestilah ada. Jadi mari kita bercakap tentang keburukan pula.
Perkara pertama saya ingin saya ingin sentuh ialah skrin. Mesti anda pelik kenapa saya sentuh tentang skrin sebab bukankah tadi saya nyatakan yang skrin besar ini puas? Ya, betul. Perkara itu memang saya tidak nafikan. Tapi ada juga yang saya tidak suka tentang skrin pada iPad Gen 9 ini.
Apa dia yang saya tidak suka sangat tu? Jawapan dia adalah sebab skrin iPad ini adalah jenis non-laminated. Mungkin ada antara anda tidak tahu tentang ini. Mari saya terangkan secara ringkas.
Skrin jenis non-laminated ini terbahagi kepada 3 lapisan yang berbeza iaitu display, touch glass dan top glass. Manakala skrin jenis leminated pula, ketiga-tiga lapisan ini disatukan. Oleh kerana non-laminated ini berbeza lapisan, maka akan ada ruang udara antara lapisan ini.
Jadi apa masalah jika skrin jenis non-laminated ini? Disebabkan ia ada ruang udara, kadang-kadang apa yang sentuh pada skrin akan tidak tepat. Lebih-lebih lagi apabila saya cuba menyentuh pilihan kecil seperti butang pangkah, atau butang skrin penuh (fullscreen) ia tidak dapat menerima input saya.
Selain itu, anda boleh rasa bahawa skrin non-laminated ini kosong jika anda menulis menggunakan Apple Pencil atau anda mengetuk skrin ini menggunakan kuku. Ia seolah-olah anda mengetuk mozek yang tak cukup simen.
Seterusnya ialah Apple Pencil. Bukan sepatutnya Apple Pencil ini satu kelebihan ke? Ya, tapi dalam masa yang sama juga ia adalah satu kekurangan. Mengapa? Kerana bagi saya, penggunaan Apple Pencil Gen 1 ini agak melecehkan.
Penggunaan Apple Pencil Gen 1 pada iPad Gen 9 ini leceh kerana ia susah untuk disimpan. Tidak seperti Apple Pencil Gen 2 yang mudah disimpan dan dicas secara wayarles.
Bercakap tentang cas, Apple Pencil Gen 1 ini juga hanya boleh dicas dengan menyambungkan pensel ini pada lubang pengecasan iPad. Cara ini tidak begitu memudahkan bagi saya.
Oleh kerana Apple Pencil ini perlu dicas menggunakan iPad, maka bermakna iPad ini masih lagi menggunakan pengecasan jenis Lightning. Bukan USB-C tapi Lightning. Untuk seseorang yang menggunakan peranti android seperti saya, penggunaan USB-C lebih universal.
Tapi tidak menjadi masalah besar buat saya kerana pengecas disediakan sekali dalam kotak. Cuma ia tidak berapa relevan bagi saya kerana semua barisan iPad sekarang sudah menggunakan USB-C.
Kesimpulan
Secara keseluruhan pengalaman saya menggunakan iPad Gen 9 ini memuaskan. Walaupun terdapat beberapa kekurangan yang saya boleh nyatakan, ia berbalik semula kepada cara penggunaan saya sendiri dan bergantung kepada cara penggunaan masing-masing. Sekarang giliran anda, adakah nilai RM1499 dengan sedikit perkongsian pengalaman yang saya ceritakan serba ringkas diatas boleh membuatkan anda memilih iPad Gen 9 ini ataupun tidak? Kongsikan pendapat anda diruangan komen.