Kecerdasan buatan (AI) membuktikan kegunaannya dalam pelbagai situasi harian apabila menemukan semula fon telinga (earbud) yang hilang hanya dalam masa lima minit dengan bantuan ChatGPT.
Menurut perkongsian oleh seorang pengguna di Reddit, pengguna berkenaan kehilangan satu unit fon telinga tanpa wayar berwarna putih di kawasan yang dipenuhi batu kerikil.
Pencarian berdepan cabaran kerana fungsi pengesanan audio pada peranti itu tidak dapat digunakan dalam keadaan tersebut.
Mengambil jalan alternatif, beliau mengambil gambar kawasan tempat fon telinga itu dipercayai terjatuh dan memuat naik imej tersebut ke ChatGPT dengan meminta AI berkenaan membantu mengenal pasti lokasinya.

Hasilnya, sistem AI itu berjaya mengesan kedudukan fon telinga yang sukar dilihat oleh mata manusia di celah-celah kerikil, sekali gus membantu pengguna menemukannya dalam tempoh kurang lima minit.
Perkongsian itu menjadi tular di Reddit di mana ramai melihat kejadian ini sebagai contoh praktikal bagaimana teknologi AI bukan sahaja berguna untuk menulis, menjawab soalan atau menghasilkan kod, malah mampu membantu menyelesaikan masalah dunia sebenar dengan cepat dan berkesan.
Kes ini turut menunjukkan peningkatan keupayaan analisis imej AI moden yang kini mampu mengenal pasti objek kecil dan tersembunyi dengan tahap ketepatan yang mengagumkan.
