Pasukan Penyelidik Diketuai Malaysia Hasilkan Platform Sehenti Covid-19, Terima Pengiktirafan WHO

Akhir-akhir ini, pelbagai maklumat yang tidak benar mengenai pandemik Covid-19 disebarkan melalui media sosial. Untuk menangani masalah ini, pasukan penyelidik di seluruh dunia telah berusaha untuk menyalurkan fakta yang tepat mengenai wabak ini.

Mungkin masih ramai yang belum tahu, pasukan penyelidik yang diketuai oleh rakyat Malaysia telah membangunkan satu platform sehenti untuk menyalurkan data dan berita berkaitan Covid-19. Menariknya, platfrom dengan nama CoronaTracker ini telah diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

CoronaTracker

CoronaTracker merupakan projek berasaskan komuniti yang bermula dengan pembabitan seramai 400 sukarelawan di seluruh dunia terdiri daripada saintis data, pengamal perubatan, pereka user interface/user experience (UI/UX), full stack developers (pembangun web) serta orang awam dan sehingga kini mempunyai lebih 1800 sukarelawan.

Fairoza Amira Hamzah, 29, ketua penyelidik yang juga merupakan anak kelahiran Tangkak ini menjalankan kajian penyelidikan bertajuk “CoronaTracker: Analisis Data dan Ramalan Wabak COVID-19 di seluruh dunia”, bertujuan untuk membuat ramalan mengenai kes COVID-19, kematian dan pemulihan melalui model ramalan dan menguraikan pola mengenai sentimen orang awam berkaitan penyebaran maklumat kesihatan.

Selain Fairoza, pasukan itu turut dianggotai oleh Lau Cher Han, Hafeez Nazri, Dominic Vincent Ligot, Lee Guanhua, Tan Cheng Liang, Mohammad Khursani Mohd Shaib, Ummi Hasanah Zaidon, Adina Abdullah, Chung Ming Hong, Ong Chin Hwee, Chew Pei Ying dan Roland Emmanuel Salunga.

Kerja keras pasukan tersebut selama dua bulan, bermula 25 Januari lepas menampakkan hasil apabila kertas penyelidikan mereka diterbitkan melalui buletin dalam talian WHO pada 19 Mac 2020.

Melalui portal CoronaTracker, ia bertindak sebagai portal untuk orang ramai mengetahui perkembangan berita terkini mengenai COVID-19 serta mengumpul data untuk analisis lanjut.

Sumber: Bernama