Pakar Sekuriti Jelaskan Mengapa Facebook Messenger Sebenarnya Lebih Berbahaya Dari WhatsApp


Isu perdebatan polisi data WhatsApp telah menjadi perbualan hangat sejak kebelakangan ini. Sebagai salah sebuah produk dari Facebook, sudah tentu ramai yang 'risau' bagaimana WhatsApp mengendalikan data-data pengguna mereka.

Namun tahukah anda, sebenarnya ada satu lagi produk yang perlu diberikan perhatian iaitu Facebook Messenger. Berbanding WhatsApp, Facebook Messenger adalah lebih merisaukan dan berbahaya.

Ini adalah kerana Messenger tidak menawarkan sebarang penyulitan hujung-ke-hujung seperti yang ada pada WhatsApp.

Menurut pakar sekuriti siber Zak Doffman, pengguna perlu berhenti dari menggunakan Messenger kerana mesej tidak dilindungi dan berisiko terdedah kepada pihak ketiga. Malah Facebook juga pun boleh melihat kandungan mesej anda disebabkan ketiadaan ciri penyulitan ini.

Berbeza dengan WhatsApp, ciri yang sama ini menyebabkan WhatsApp dan Facebook tidak boleh melihat kandungan mesej atau mendengar panggilan yang dibuat oleh pengguna (seperti yang dinyatakan oleh WhatsApp dalam FAQ polisi mereka).

Facebook sebelum ini pernah menyatakan komitmen mereka untuk menawarkan ciri penyulitan pada Messenger. Namun sudah 2 tahun sejak dari laporan tersebut, tiada tanda-tanda bahawa ia akan mula diperkenalkan untuk pengguna umum.

Messenger mempunyai lebih dari 1.3 billion pengguna secara global. Jumlah itu bakal meningkat kepada 2.4 billion menjelang hujung tahun 2021 ini.

Sebagai saranan, jika anda mementingkan data privasi pada perbualan anda, elakkanlah dari menggunakan Facebook Messenger.

Sumber: Forbes