Bagaimana Facebook Boleh Tahu Barang Apa Yang Anda Beli?

Pernahkah anda pergi membeli barangan di kedai fizikal Samsung (contohnya), membeli barang atau sekadar membuat window shopping, tetapi balik rumah terkejut secara tiba-tiba sahaja ada iklan dalam aplikasi Facebook mengenai kedai Samsung itu ataupun barangan yang dibeli.



Bagaimana Facebook boleh tahu apa yang terjadi di dunia sebenar? Adakah ia hanya sekadar kebetulan sahaja? Atau Facebook benar-benar menjejak pengguna mereka sehingga ke dunia fizikal?

Adakah Hanya Sekadar Kebetulan Sahaja?


Penjelasannya adalah segala-galanya bermula dari telefon pintar anda.

Umum mengetahui bahawa model bisnes Facebook adalah berteraskan iklan dan dari iklanlah mereka menjana kewangan dan pendapatan.

Sehubungan dengan itu, Facebook boleh menjadi seperti sebuah tapak sewa iklan untuk syarikat-syarikat lain menempelkan iklan pada platform tersebut.

Menggunakan pelbagai data pengguna yang dikorek, Facebook akan memastikan iklan yang disasarkan tepat kepada kelompok pengguna yang tertentu untuk meningkatkan jumlah pembeli potensi kepada syarikat yang mengiklankan itu.

Itu secara ringkasnyalah.

Apabila anda menggunakan telefon pintar, syarikat-syarikat (klien Facebook) boleh menjejak anda melalui GPS (jika anda ke kedai fizikal tersebut), melihat barangan apakah yang anda mahu beli (melalui laman web mereka atau jika anda mencari ulasan di YouTube), maklumat demografik seperti jantina dan umur, dan banyak lagi.

Data-data ini kemudiannya akan disalurkan ke Facebook secara 'halus' supaya anda akan mendapat iklan tepat berdasarkan maklumat-maklumat yang anda telah kongsi secara tidak sengaja itu.

Wi-Fi Percuma Di  Pusat Beli-Belah Yang Sebenarnya Tidak Percuma


Masakini, semakin banyak Wi-Fi percuma yang boleh didapati di pusat beli-belah dan juga di kedai-kedai. Menggunakan Wi-Fi percuma sudah tentu lebih mudah disebabkan anda tidak perlu menggunakan data dari penyedia rangkaian dan seterusnya lebih menjimatkan bateri.



Namun tahukah anda, Wi-Fi percuma itu sebenarnya bukanlah sepercuma yang anda sangka.

Apabila anda menggunakan Wi-Fi percuma itu, anda kebiasaannya akan disambut terlebih dahulu dengan sebuah laman yang meminta anda maklumat seperti emel, nombor telefon, dan harus bersetuju dengan terma syarat yang diberikan sebelum boleh melayari internet.

Ini merupakan salah satu pintu masuk bagaimana anda membenarkan Wi-Fi ini menjejak data anda dan memberikannya kepada syarikat-syarikat yang berniaga dalam pusat beli-belah tersebut.

Biasanya kita jika hendak sesuatu atau cepat, memang sudah tidak baca terus terma dan syarat. Hanya tanda sahaja disebabkan mahu terus guna internet percuma.

Lagi teruk lagi jika Wi-Fi itu memerlukan anda log masuk dari Facebook, bukan sahaja anda berkongsi dengan klien-klien Facebook, malah Facebook itu sendiri.

Anda ingat jika anda sudah meninggalkan pusat beli-belah itu, anda akan selamat? Hehe.

Pusat beli-belah ini boleh sahaja memasang cookies pada pelayar telefon anda untuk menyambung semula window shopping anda apabila anda tiba ke rumah pula.

Anda mungkin tidak pernah mendengar isu penjejakan semua ini, tetapi ia sebenarnya bukanlah sebuah rahsia.

Laman rasmi syarikat perniagaan dan aplikasi kebiasaannya memang sudah ada memberitahu polisi data apa yang mereka kumpul atau apa yang mereka buat dengan data itu.

Sebagai contoh, H&M, sebagai salah sebuah kedai yang biasa dijumpai di pusat beli-belah ada menyatakan polisi penggunaan data secara umum pada laman rasmi mereka.



Namun itulah, siapa je nak baca polisi semua ni.

Cara Mengelak Dari Dijejak


Cuba bayangkan anda di pusat beli-belah. Ada seseorang yang pelik asyik tangkap gambar anda, rakam apa yang anda buat, ikut anda dari kedai ke kedai. Sudah tentu menakutkan, bukan?

Anda boleh menggunakan salah satu ciri yang tersedia dalam Facebook untuk melihat data dan laman web mana yang mengumpul maklumat anda.

Dipanggil Off-Facebook Activity, ia merupakan ciri privasi yang boleh mengosongkan sejarah aplikasi dan laman web yang sudah berkongsi data anda.



Anda juga boleh memilih iklan secara spesifik untuk ditayangkan kepada anda melaluinya.

Caranya adalah pergi ke  Settings & Privacy > Settings > Your Facebook Information > Off-Facebook Activity.

Sesudah anda selesai membersihkan aktiviti yang terdapat pada ciri itu, Facebook akan membuang maklumat anda yang berkait dengan aplikasi dan laman web yang dikongsi.

Jadi, Facebook sudah tidak tahu laman web yang anda lawat, atau aplikasi yang anda buka menjadikan tiada iklan yang disasar seperti sebelumnya.

Facebook masih lagi merupakan syarikat yang menjadikan iklan sebagai faktor utama pendapatan mereka. Jadi jika anda tidak mahu menyumbang kepada pendapatan Facebook, cara terbaik adalah padam akaun anda dan tidak menggunakannya.

Namun, buat sesetengah dari kita, ia adalah mustahil. Untuk itu, anda boleh gunakan ciri Off-Facebook Activity ini sebagai sesuatu yang kita masih lagi boleh kawal dari pihak kita.

Sumber: Vox, CNET, reddit, Facebook

Berkaitan