OpenAI memperkenalkan GPT-6 Cyber, model kecerdasan buatan (AI) khusus untuk tugasan keselamatan siber yang direka bagi mengesan kerentanan, menguji kelemahan perisian dan membantu penyelidik membangunkan kaedah untuk menanganinya..
GPT-6 Cyber menawarkan peningkatan besar berbanding GPT-5.6 Cyber dan mengatasi prestasi GPT-6 Astra dalam kebanyakan tugasan keselamatan siber, termasuk ketika GPT-6 Astra tidak menolak permintaan yang diberikan.
Mengesan 81 Kerentanan Baharu Pada Firefox
Dalam penilaian menggunakan penanda aras ExploitGym, GPT-6 Cyber mencatatkan skor 48.5%, meningkat berbanding 32.1% yang dicatatkan GPT-5.6 Cyber.

Menurut OpenAI, keupayaan ini sudah pun membantu melindungi sistem sebenar. Dalam penyelidikan terhadap kernel Linux, GPT-6 Cyber mengenal pasti 2,308 kemungkinan kelemahan keselamatan dan mengesahkan 1,724 daripadanya melalui ujian. Model ini turut menghasilkan 948 eksploit yang membolehkan pengguna biasa mendapatkan akses root, iaitu tahap akses tertinggi dalam sistem.
Hasil ujian tersebut digunakan untuk menentukan kelemahan yang perlu diberi keutamaan dan menyediakan cadangan tampalan keselamatan untuk disemak oleh penyelenggara Linux.
Selain itu, GPT-6 Cyber juga mengenal pasti 81 kelemahan keselamatan berisiko tinggi yang sebelum ini tidak diketahui dalam Firefox. Model ini membantu menyediakan cadangan pembaikan, manakala Mozilla sudah mengeluarkan kemas kini keselamatan untuk membaiki banyak kelemahan tersebut.
OpenAI turut menggunakan model ini untuk mengesan dan membaiki kelemahan keselamatan dalam infrastruktur dalamannya yang digunakan untuk melatih model AI.
Diperketat Supaya Tidak Bertindak Di Luar Skop
Selain keupayaan teknikalnya, OpenAI turut meningkatkan langkah keselamatan GPT-6 Cyber bagi memastikan model ini tidak mengeksploitasi sistem atau perkhidmatan yang berada di luar skop tugasan yang diberikan.

OpenAI juga memperkenalkan pemantauan khusus untuk mengesan penyalahgunaan serta pemeriksaan tambahan bagi menyekat aktiviti berisiko tinggi, termasuk cubaan menyerang sistem infrastruktur kritikal seperti loji janakuasa dan kemudahan rawatan air.

Berdasarkan Kerangka Kesediaan OpenAI, GPT-6 Cyber diklasifikasikan pada tahap Kritikal dalam bidang keselamatan siber, meningkat daripada tahap Tinggi bagi GPT-5.6 Cyber.
Ketersediaan
Introducing GPT‑6 Cyber: a major advance in security research that pairs stronger capabilities with better model alignment.
The model powered the Linux kernel research we announced yesterday, and security teams at companies like Mozilla, Palo Alto Networks, Calif, and… pic.twitter.com/34uAeNnhwP
— OpenAI (@OpenAI) November 5, 2026
Buat masa ini, GPT-6 Cyber ditawarkan melalui API dan Codex kepada kumpulan pelanggan Daybreak Red terpilih yang telah mendapat kelulusan OpenAI. Aksesnya akan diperluas secara berperingkat kepada semua pelanggan Daybreak Red.
