OpenAI baru sahaja melancarkan keluarga model AI terbaharu mereka, GPT-5.6, secara rasmi kepada orang ramai selepas fasa pratonton terhad sebelum ini. Model ini terbahagi kepada tiga varian: Sol (model tertinggi), Terra (model seimbang untuk kegunaan harian) dan Luna (model paling jimat kos).
Menurut OpenAI, GPT-5.6 Sol mencatatkan hasil terbaik setakat ini dalam pelbagai bidang termasuk pengaturcaraan, kerja pengetahuan, keselamatan siber dan sains sambil menggunakan token yang lebih sedikit dan kos yang lebih rendah berbanding model terdahulu serta pesaing lain di pasaran.

Salah satu ciri baharu yang diperkenalkan ialah mod ultra, iaitu tetapan keupayaan tertinggi yang membolehkan model menyelaraskan beberapa ejen AI secara serentak untuk menyiapkan tugasan kompleks dengan lebih pantas. Ciri ini amat berguna untuk kerja yang memerlukan pemprosesan intensif seperti analisis data besar atau penyelidikan mendalam.
GPT-5.6 turut menunjukkan peningkatan ketara dalam soal reka bentuk antara muka (UI), termasuk keupayaan memeriksa dan memperbaiki hasil kerja sebelum diserahkan kepada pengguna. Model ini juga lebih mahir menukar dokumen, mesej Slack, Notion, Microsoft 365 dan Google Drive kepada hasil kerja profesional yang lebih kemas dan sedia guna sama ada dalam bentuk pembentangan (slaid), dokumen atau hamparan (spreadsheet).
Dari segi keselamatan siber, OpenAI mendakwa GPT-5.6 adalah model paling mahir setakat ini dalam mengesan dan membetulkan kelemahan sistem (vulnerability), walaupun syarikat itu turut memperketatkan kawalan capaian bagi mengelakkan penyalahgunaan.
Individu dan organisasi yang layak boleh memohon akses lanjutan menerusi program Trusted Access OpenAI untuk tujuan pertahanan siber yang sah.
Dalam bidang sains, model ini turut menunjukkan peningkatan dalam tugasan berkaitan biologi dan kimia, walaupun OpenAI menegaskan ia tidak melangkaui had keupayaan yang boleh membawa risiko tinggi.
Harga Dan Ketersediaan
GPT-5.6 kini boleh diakses menerusi ChatGPT, Codex dan OpenAI API, dengan pelancaran global dijangka lengkap dalam tempoh 24 jam akan datang. Dari segi harga bagi setiap 1 juta token:
- Sol: USD5 (input) / USD30 (output)
- Terra: USD2.50 (input) / USD15 (output)
- Luna: USD1 (input) / USD6 (output)
Pengguna ChatGPT Plus, Pro, Business dan Enterprise boleh mengakses GPT-5.6 Sol, manakala pengguna percuma dan Go akan mendapat akses kepada Terra. Pembangun pula boleh memilih antara ketiga-tiga varian menerusi OpenAI API mengikut keperluan projek masing-masing.
Pelancaran GPT-5.6 ini sekali lagi menunjukkan persaingan sengit dalam industri model bahasa besar (LLM), dengan syarikat seperti OpenAI, Anthropic dan Google terus bersaing menawarkan model yang lebih pantas, lebih murah dan lebih pintar dari semasa ke semasa.
{suggest}
