Gergasi semikonduktor Korea Selatan, SK hynix, dijadualkan bakal menetapkan harga rasmi bagi penjualan saham mega mereka di bursa Nasdaq, Amerika Syarikat, yang dijangka menjadi antara salah satu transaksi jualan saham terbesar di dunia.
Menerusi langkah strategik ini, pembekal utama cip memori kepada Nvidia tersebut merancang untuk menerbitkan hampir 18 juta unit saham baharu dalam bentuk Resit Deposit Amerika (ADR) bagi meraih dana sasaran berjumlah 43 trilion won (sekitar USD28 bilion).
Walaupun sasaran ini disemak turun sedikit daripada unjuran awal sebanyak 45 trilion won ekoran turun naik pasaran saham teknologi kebelakangan ini, fasa langganan dilaporkan telah menerima sambutan luar biasa apabila terlebih langgan sebanyak tujuh kali ganda.
Dana gergasi yang diperoleh daripada penyenaraian Wall Street ini bakal digunakan oleh SK hynix untuk membiayai pembinaan kilang penapis cip (fabrication hub) baharu bagi menangani isu krisis rantaian bekalan global.
Langkah agresif ini dilihat sebagai cubaan untuk memintas kedudukan pesaing domestik utamanya, Samsung Electronics, bukan sahaja dari segi kepimpinan pasaran memori berjalur lebar tinggi (HBM) untuk pelayan AI, malah dari sudut penguasaan volum pengeluaran secara menyeluruh.
Selain mengukuhkan modal sektor memori, pelaburan ini turut menyokong projek mega awam-swasta bernilai 800 trilion won untuk membangunkan hab semikonduktor di barat daya Korea Selatan bersama-sama Samsung.
Pencapaian ini mencerminkan lonjakan luar biasa SK hynix yang menyaksikan nilai permodalan pasarannya di bursa Kospi Seoul melepasi angka penanda aras USD1 trilion pada Mei lalu, sekali gus menyertai kelab eksklusif global bersama Samsung dan Micron.
Impak dominasi tiga gergasi ini dalam pasaran HBM telah menyebabkan kekurangan komponen memori konvensional bagi peranti harian, sehingga memaksa jenama global seperti Apple menaikkan kos harga MacBook dan iPad mereka.
Walaupun pasaran tech global sedang berwaspada terhadap fasa pulangan pelaburan AI, penyenaraian bursa AS oleh SK hynix ini dijangka mampu menyaingi skala kemunculan pasaran bersejarah seperti Saudi Aramco pada 2019 dan Alibaba di New York. – AFP
