OpenAI pada Selasa menyatakan bahawa salah satu model kecerdasan buatan (AI) yang belum dilancarkan telah berjaya menyelesaikan teka-teki matematik yang gagal dirungkai oleh pakar matematik selama bergenerasi, dalam satu dakwaan yang turut mencetuskan pertikaian hak cipta dengan penyelidik saingan.
Penyelidik di OpenAI berkata ia hanya mengambil masa beberapa hari serta kos kuasa pengkomputeran bernilai jutaan dolar untuk merungkai apa yang dikenali sebagai masalah Navier-Stokes.
Navier-Stokes merupakan salah satu daripada tujuh Masalah Hadiah Milenium, iaitu senarai soalan terbuka paling sukar dalam bidang matematik yang dikemukakan oleh Clay Mathematics Institute.
Ia melibatkan persamaan yang menceritakan bagaimana cecair dan gas seperti air dan udara bergerak, yang digunakan dalam reka bentuk pesawat, ramalan cuaca, serta kajian aliran darah.
OpenAI menyatakan hasil kerja mereka menunjukkan bahawa persamaan ini boleh dihuraikan (break down) mengikut peredaran masa, sekali gus menjawab soalan seperti yang ditetapkan oleh Hadiah Milenium.
“Ini merupakan pencapaian penting bagi penyelidikan AI, dan janjinya kepada dunia ialah soalan-soalan kita yang paling sukar akan menjadi lebih mungkin untuk dijawab,” kata Mark Chen, ketua pegawai penyelidikan OpenAI kepada wartawan.
Setiap Masalah Hadiah Milenium menawarkan ganjaran sebanyak $1 juta, dan hanya satu sahaja yang berjaya diselesaikan sejak senarai itu diterbitkan pada tahun 2000.
OpenAI berkata mereka tidak akan menuntut wang tersebut sekiranya penemuan mereka disahkan.
Mengikut peraturan hadiah berkenaan, sesuatu penyelesaian perlu diterbitkan dalam jurnal yang disemak semula oleh pakar dan bertahan selama dua tahun selepas diterima oleh komuniti matematik sebelum institut berkenaan mengumpulkan jawatankuasa untuk menilai hasil kerja tersebut
“Proses penilaian dibuat secara berhati-hati dan tidak tergesa-gesa, dan kami akan memastikan ia benar-benar teliti,” kata Profesor Martin Bridson, Presiden Clay Mathematics Institute kepada AFP.
AI bergaya ChatGPT sedang merancakkan dunia matematik peringkat tinggi dengan menyelesaikan masalah terkenal yang tidak terungkai berpuluh tahun dengan pantas.
Namun, ia turut mencetuskan perdebatan sama ada jawapan yang dijana oleh mesin benar-benar dikira sebagai kefahaman sebenar manusia.
‘Jutaan Dolar’
Dalam satu hantaran blog yang menceritakan penemuan tersebut, OpenAI berkata mereka mula melatih model baharu pada akhir Ogos, yang lebih berkeupayaan berbanding apa-apa yang pernah dikeluarkan secara awam.
Beberapa hari kemudian, selepas melihat khabar angin dalam talian bahawa pesaing mereka telah menyelesaikan masalah Milenium, OpenAI melepaskan sistem itu ke atas kesemua enam masalah yang masih terbuka.
Hasil kerja ke atas Navier-Stokes menunjukkan potensi yang tidak disangka-sangka, dan syarikat itu telah menyalurkan kuasa pengkomputerannya ke dalam projek berkenaan.
Pada peringkat akhir, penyelidik OpenAI, Sebastien Bubeck berkata, 10,000 ejen AI program yang beroperasi secara kendiri bekerja pada masalah itu secara serentak sambil menghantar mesej secara berulang-alik.
Chen berkata kos pengkomputeran mencecah “jutaan dolar secara ketara,” dengan Bubeck menambah ini adalah kira-kira 1,000 kali ganda daripada apa yang dibelanjakan oleh syarikat untuk hasil matematik terdahulu.
Menurut akaun OpenAI, ejen-ejen berkenaan mencapai penyelesaian pada hari Sabtu, kira-kira 88 jam selepas projek itu dilancarkan.
Dakwaan itu muncul beberapa jam selepas Tristan Buckmaster, seorang pakar matematik di New York University, dan Levent Alpoge, yang bekerja di syarikat pesaing OpenAI, Anthropic, mengeluarkan hasil kerja berbantu AI mereka sendiri ke atas tiga persamaan berkaitan.
Dalam satu kenyataan yang diterbitkan bersama kertas kerjanya, Buckmaster berkata OpenAI hanya mengambil masalah itu selepas berita mengenai penyelidikannya tersebar, dan menggunakan pendekatan luar biasa yang sama yang telah dibangunkannya bersama Alpoge selama berbulan-bulan.
Penyelidik OpenAI menafikan mempunyai akses kepada hasil kerja pasukan saingan itu dan berkata mereka mencadangkan untuk berkongsi kredit sebelum menyedari bahawa Buckmaster dan Alpoge belum lagi menyelesaikan masalah tersebut secara penuh.
“Untuk jelaskan, kami tidak menggunakan arahan (prompts) atau bukti mereka untuk mengarahkan model atau ejen kami,” kata Bubeck.
Walau bagaimanapun, dalam hantaran kemudian di platform X, OpenAI berkata “walaupun tidak berkemungkinan, kami tidak boleh menolak kemungkinan bahawa data tanpa identiti daripada penggunaan produk kami oleh mereka telah membantu menambah baik model kami.”
– AFP
{suggest}
